Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imarahkan bulan Ramadan dengan berkongsi rezeki

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), sebagai rakan kongsi dalam kemajuan, telah menunjukkan sokongannya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam dalam inisiatif mereka untuk menyumbangkan makanan berbungkus kepada 200 penerima, hari ini.

    Program tersebut diadakan di BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas di mana hadir selaku tetamu-tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Pada majlis itu, tetamu-tetamu kehormat menyampaikan pek Sadaqah makanan sumbangan BIBD kepada golongan asnaf, individu dan keluarga daripada golongan kurang berkemampuan.

    Ia adalah selaras dengan komitmen bank untuk memberi kembali kepada masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan, menjelang sambutan Hari Raya nanti.

    Dengan Ramadan, amal kebajikan menjadi lebih tinggi dan BIBD sebagai warga korporat percaya dalam berkongsi rezeki dan menyumbang kepada masyarakat.

    Projek bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan Al-Mubarak dan kebersamaan dalam memupuk mahabbah dalam kalangan masyarakat untuk berbagi rezeki dan menikmati berkat Ramadan serta mensyukuri nikmat dan rahmat Allah SWT.

    Selain itu, PBSM juga telah menjemput rakan kongsi Perjanjian Perkongsian Pintar (Rakan Kongsi IPA) iaitu Makan Ceria Sdn Bhd, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Progresif, Royal Brunei, dan pihak NGO serta orang ramai dalam sama-sama menyumbang pek sedekah makanan dan minuman untuk Program Iftar Akbar berkenaan.

    Menerusi penglibatan dan sokongan institusi mukim dan kampung, seramai 1,000 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin, individu dan keluarga kurang berkemampuan akan menerima pek Sadaqah, berserta juadah lain, yang akan dinikmati semasa acara bersungkai beramai-ramai di Taman Mahkota Jubli Emas.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi melancarkan Program Iftar Akhbar.
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi menyampaikan agihan sadaqah Kotak Makanan Sungkai Bulan Sabit Merah Sumbangan BIBD kepada penerima.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda