Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    IMFC Johor dijangka siap tahun ini, bakal tarik lebih ramai pelabur

    JOHOR BAHRU, 12 FEB – Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) di Johor yang dijangka siap pada tahun ini dilihat berpotensi untuk menarik lebih ramai pelabur baharu melabur di negeri itu.

    Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pusat sehenti itu merupakan kerjasama antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri yang akan menjadi pencetus perubahan dan pemangkin kepada peningkatan ekonomi negeri Johor.

    “Seperti dalam pertemuan dengan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada minggu lepas, Johor bakal mewujudkan satu pusat fasilitasi pelaburan.

    “Semua agensi Persekutuan dan negeri yang bersangkut paut dengan pelaburan akan ada satu pusat sendiri, ini adalah yang pertama dalam negara. Sebelum ini, di Kuala Lumpur, IMFC memang sudah diwujudkan tetapi tiada kolaborasi dengan agensi dari kerajaan negeri.

    “Ini antara kerjasama khas ini dan kita sasar pada tahun ini akan siap yang akan memudahkan pelabur seperti disebut pada pengumuman penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebelum ini,” katanya pada sidang media hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang.

    Pada bulan lepas, memorandum persefahaman (MoU) JS-SEZ antara Malaysia dan Singapura telah dimeterai yang menggariskan beberapa inisiatif dalam membina ke arah zon ekonomi.

    Sementara itu, Onn Hafiz berkata konsep Johor Fast Lane yang bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dalam urusan perniagaan di sini turut menjadi faktor pelabur untuk melabur di negeri itu.

    Menurutnya, tahun lalu, Johor berjaya menarik 30 pelabur di empat pihak berkuasa tempatan melalui Johor Fast Lane. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...