Tuesday, April 29, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impak sampah sarap kepada alam sekitar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Syarikat-syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan dialu-alukan untuk sama-sama mengendalikan dan mendokong kempen kebersihan di kawasan persekitaran pusat-pusat perniagaan dan tempat awam dan riadah.

    Ini termasuklah pembuangan kereta-kereta rosak yang diletakkan di tempat awam, sampah sarap di longkang dan saliran yang menyebabkan air bertakung dan longgokan sampah yang boleh menjadi sarang tikus dan nyamuk.

    Seruan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin selaku pengerusi Kumpulan Petindak Stakeholders Awareness and Stewardship, Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan (JIIK) semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Beliau berkata, isu pembuangan sampah sarap di Negara Brunei Darussalam merupakan satu isu penting yang perlu ditangani, dikawal dan dipantau bersama oleh semua pihak berkepentingan termasuklah orang ramai, agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang bersih, selamat dan sihat.

    Menurutnya lagi, isu pembuangan dan pelupusan sampah secara teratur sememangnya penting terutama sekali kebelakangan ini di mana sampah-sampah plastik menjadi isu utama.

    Haji Maswadi menegaskan mengenai kepentingan isu pembuangan sampah tidak teratur semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Sampah sarap yang dibuang dengan cara yang tidak teratur dan bersistematik boleh memberikan kesan yang merbahaya terhadap alam sekitar dan kesihatan awam jika tidak ditangani dengan sempurna.

    Menurutnya, antara impak-impak alam sekitar termasuklah pencemaran udara, air, tanah dan bau.

    Daripada impak-impak tersebut, ia boleh mendatangkan penyakit berjangkit kepada kesihatan awam seperti pembiakan jentik-jentik (nyamuk) di tempat air takungan bekas-bekas sampah sarap yang menyebarkan penyakit bawaan vektor seperti malaria, denggi dan sebaginya.

    Selain itu, ia boleh menjadi tempat bagi pembiakan tikus yang boleh menyebarkan penyakit leptospirosis serta pembiakan lalat yang boleh menyebarkan penyakit seperti tipoid, kolera, disenteri (cirit birit) dan sebagainya.

    Beliau berkata, dalam mendokong usaha untuk meningkatkan tahap kebersihan, usaha bersepadu daripada JIIK, Kementerian Kesihatan selaku pengerusi Kumpulan Petindak Stakeholders Awareness dan Stewardship telah menyelaras lima inisiatif utama iaitu kempen-kempen kebersihan di tempat awam, kempen kebersihan senegara, kempen kesedaran awam, Setiap Hari Tanpa Beg Plastik dan Pertandingan Waste Collection Conceptual Design.

    Meskipun negara dilanda gelombang COVID-19, aktiviti-aktiviti masih dapat dilaksanakan seperti kempen-kempen kebersihan oleh pihak kerajaan, swasta dan NGO.

    Ini termasuklah kempen kebersihan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta, masjid-masjid, pantai, taman dan rekreasi, sekolah, pasar dan gerai, bangunan komersial (perniagaan) dan sebagainya.

    Menurut beliau lagi, JIIK telah merancang banyak lagi kempen kebersihan yang akan melibatkan tempat awam dan swasta di samping tindakan-tindakan penguatkuasaan ke atas tempat-tempat awam bagi memastikan negara ini sentiasa bersih dan indah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda