Kemunculan pereka fesyen Rizman Ruzaini di Minggu Fesyen Dubai, pada malam Ahad lalu menjadi tumpuan ramai apabila mempersembahkan model antarabangsa Naomi Campbell, memperagakan busana terakhir rekaannya.
Pada acara itu Naomi mengenakan gaun berwarna hitam dan dihiasi dengan kristal serta dipadankan dengan jaket bolero untuk koleksi musim bunga atau panas 2024.
Ini merupakan kemunculan sulung Naomi pada acara berkenaan.
Pakaian yang direka oleh pasangan duo berkenaan terlihat anggun dan elegan apabila menggunakan sulaman dan manik halus yang sememangnya sinonim dengan rekaannya.
Menurut Rizman Ruzaini, rekaan tersebut diilhamkan daripada legenda rakyat Nusantara diberi nama Naga Seri Gumum yang mengisahkan tentang seekor naga tidur di Tasik Chini di negeri Pahang.
Malah jenama terkemuka itu mementaskan kira-kira 60 rekaan yang bertemakan Spring Summer 2024.
Acara yang diadakan secara tertutup itu turut dihadiri selebriti dalam dan luar negara.
Menjengah ke akaun Instagram Rizman Ruzaini pula, pasangan duo itu menganggap impiannya tercapai apabila rekaannya dipakai model antarabangsa.
“Impian jadi kenyataan,” katanya menurut laporan mStar.
Malah pasangan duo berkenaan turut berkongsi gambar dan video memperlihatkan mereka berpimpin tangan dengan Naomi. – mStar
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/10/1A-mStar.jpg)