INAI selalunya digunakan untuk melengkapkan seri raja sehari. Bukan itu sahaja, tumbuhan ini juga banyak digunakan bagi tujuan kesihatan dan perubatan. Dipercayai inai mempunyai sifat antibiotik, malah bertindak sebagai agen antibakteria, antikulat dan astringen.
Walau bagaimanapun ia tidak sesuai bagi wanita yang ingin atau sedang hamil.
Tumbuhan ini dikatakan berasal dari benua Asia (India ke Asia Barat). Kini, inai semakin giat ditanam diserata kawasan tropika dan subtropika. Cara penanaman inai mudah sahaja iaitu menggunakan biji atau keratan ranting.
Khasiat perubatan
Akar inai pada biasanya ditumbuk lumat sebelum ditampal pada bisul. Sementara itu, air rebusannya dipercayai boleh diminum untuk merawat penyakit bronkitis, terlalu banyak hingus dan melawaskan pembuangan air kecil.


Buah inai muda dipercayai boleh dijadikan ubat salap bagi merawat masalah gatal pada kulit. Bunga inai pula boleh dicampurkan bersama air yang sedang mendidih. Biarkan ianya sejuk seketika sebelum diminum kerana dipercayai ia dapat membuatkan tidur menjadi lebih nyenyak.
Daun inai pula lazimnya digunakan untuk merawat penyakit kusta, demam kuning dan masalah kelemumur di kepala. Bagi mengatasi penyakit kulit, bisul, herpes, kusta, luka ringan, luka selepas berkhatan, reumatisme, perut kembung, jangkitan pada jari dan kuku atau memastikan rambut dan kuku berada dalam keadaan sihat. Hancurkan daun-daun inai segar kemudian tampalkan pada bahagian yang sakit.


Daun inai juga memberi manfaat kepada para ibu selepas bersalin dan bagi mereka yang bercadang untuk mengelakkan tubuh menjadi gemuk. Caranya dengan merebus dan minum air daun inai.
Lain-lain kegunaan
Daun inai juga digunakan untuk mewarnakan rambut, kuku tekstil dan tatu pada kulit. Suatu ketika dahulu inai turut dijadikan salah satu bahan penting dalam proses mengawet mayat pada zaman Mesir purba.
Bunga inai pula digunakan sebagai sumber minyak wangi dan pelbagai kosmetik. Begitu juga dengan kayu pokoknya yang biasa dijadikan hulu perkakas dan pelbagai bahan bersaiz kecil.
Selain itu, air rebusan daun inai juga boleh digunakan untuk berkumur bagi mengatasi bengkak dan sakit gusi, diminum untuk merawat demam kuning, penyakit limpa, sakit perut selepas bersalin, sakit kerongkong, merangsang haid, penyakit kelamin dan keputihan pada faraj. Ranting pokok inai pula dipercayai sesuai untuk dijadikan berus gigi.