Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Indera Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta berjemana Jaguar dan Land Rover di negara ini, pagi tadi telah memberikan tajaan kepada pasukan lumba basikal, Sportzmen yang akan menyertai LOF Cycling Challenge 2017.
Hadir di majlis penyerahan tajaan yang berlangsung di Bilik Pameran, Indera Motors Sdn Bhd, Lambak Kanan ialah Pengurus Besar Indera Motors Sdn Bhd, Alfred Yong Foh Sen dan Pengurus Jualan, Tony Chua.
Menurut ketua pasukan Sportzmen, Pengiran Nizem bin Pengiran Haji Metassan semasa ditemui menyatakan bahawa tajaan ini adalah berupa baju pasukan dan barangan yang diperlukan semasa pertandingan LOF Cycling Challenge 2017 yang akan diadakan pada 6 Ogos nanti di negara ini.
Beliau menjelaskan lagi bahawa pasukan Sportzmen mempunyai 16 orang ahli dan semasa cabaran itu nanti pasukan Sportzmen akan menyertai acara 135km bagi Kategori Berpasukan dan Individu.
Pengiran Nizem kemudian juga turut melahirkan perasaan gembira dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syarikat Indera Motors Sdn Bhd yang telah berbesar hati untuk memberikan tajaan itu.


Manakala Alfred Yong Foh Sen ketika menyampaikan ucapannya menyatakan bahawa aktiviti berbasikal atau aktiviti perlumbaan basikal ini adalah merupakan sukan aktiviti yang menjana ke arah kehidupan yang sihat.
Beliau juga kemudian mengucapkan terima kasih kepada Pengiran Nizem, yang merupakan ahli kakitangan di syarikat berkenaan dan juga pasukannya, kerana berkesudian untuk sama-sama mempromosikan Indera Motors Sdn Bhd kepada orang ramai.
Pengiran Nizem berkata, melalui tajaan yang telah diberikan ini, ia juga dapat mempromosikan Syarikat Indera Motors Sdn Bhd dalam sama-sama meningkatkan lagi pemasaran syarikat berkenaan.