NEW DELHI, 2 OKT – India semalam melaporkan 86,821 kes koronavirus dan 1,181 kematian, menjadikan September bulan pandemik paling teruk.
Laporan terkini Kementerian Kesihatan untuk tempoh 24 jam lalu menambah jumlah India kepada lebih 6.3 juta penduduk dijangkiti dan 98,678 kematian akibat COVID-19. India menambah 41 peratus daripada kes disahkan dan 34 peratus daripada kematian pada bulan September sahaja.
India dijangka menjadi negara yang paling teruk terjejas akibat pandemik dalam masa beberapa minggu, mengatasi Amerika Syarikat, di mana lebih daripada 7.2 juta penduduk telah dijangkiti.
Kerajaan mengumumkan pelong-garan sekatan selanjutnya bermula pada 15 Oktober. Pawagam, teater dan kompleks boleh dibuka dengan 50 peratus kapasiti tempat duduk, dan kolam renang juga boleh digunakan oleh atlet dalam latihan.
Kerajaan juga berkata 28 negeri India boleh memutuskan untuk membuka semula sekolah dan institusi bimbingan secara bertahap selepas 15 Oktober. Bagaimanapun, pelajar mempunyai pilihan untuk menghadiri kelas dalam talian.
Penerbangan komersial antarabangsa masih digantung sehingga 31 Oktober. Bagaimanapun, penerbangan pemindahan akan diteruskan ke dan dari Amerika Syarikat, Britain, Australia, Kanada, Perancis, Jepun dan beberapa negara lain. – AP