Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    India sasar kejuaraan badminton 2023

    KUALA LUMPUR, 15 FEB – Selepas kejayaan menjuarai Piala Thomas tahun lepas, India optimis untuk mengulangi pencapaian cemerlang pada 2023 dengan memburu kejayaan di kejohanan Berpasukan Campuran Asia dan Piala Sudirman.

    Berdasarkan prestasi mereka sepanjang 2022 termasuk di Sukan Komanwel Birmingham, Ketua Jurulatih Kebangsaan India Pullela Gopichand yakin India mampu mencipta lebih banyak kejayaan tahun ini.

    Bekas juara All England yang telah melatih skuad kebangsaan India sejak 2004, menaruh harapan tinggi terhadap anak buahnya untuk mencipta kejayaan gemilang berkenaan.

    “Tahun 2023 akan menjadi musim yang penuh aksi bagi skuad badminton dengan Sukan Asia, Piala Sudirman dan juga permulaan kelayakan ke Olimpik (pada Mei).

    “Sebagai sasaran, kami berharap dapat mengulangi kejayaan memenangi Piala Thomas 2022 pada kejohanan badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai dan Piala Sudirman akan datang,” katanya kepada Bernama.

    Gopichand ditemui selepas menerima delegasi terdiri daripada lapan ahli Jawatankuasa Saintifik Antarabangsa mengenai Perubatan Senaman (ISCEM) dari Malaysia diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Prof Dr Muhammad Lee di Pullela Gopichand Badminton Academy (PGBA) di Hyderabad, Telangana, India, baru-baru ini.

    India muncul juara kali pertama Piala Thomas selepas menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0 pada final berlangsung di Bangkok, pada Mei tahun lepas manakala di Sukan Komanwel Birmingham pula, India pasukan terbaik dengan tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

    BAMTC berlangsung di Pusat Pameran Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 14 hingga 19 Feb manakala Piala Sudirman pula dijadual pada Mei di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, China. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...