Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia, Australia meterai perjanjian pertahanan ‘bersejarah’

    MAGELANG, INDONESIA, 29 OGOS – Indonesia dan Australia menandatangani perjanjian pertahanan baharu hari ini, menjanjikan kerjasama yang lebih erat untuk menangani ancaman keselamatan di rantau Asia Pasifik.

    Perjanjian itu, diumumkan bulan ini, ditandatangani semasa lawatan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles ke Indonesia minggu ini dan termasuk peruntukan untuk latihan-latihan bersama dan penghantaran tentera ke negara masing-masing.

    Kedua-dua negara telah berusaha untuk meningkatkan hubungan keselamatan ketika menghadapi pergolakan meningkat di rantau ini termasuk Laut China Selatan, di mana beberapa negara menuntut kedaulatan ke atas pulau-pulau dan laluan air yang dipertikaikan.

    Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto menyifatkan Perjanjian Kerjasama Pertahanan Australia-Indonesia sebagai ‘peristiwa bersejarah’.

    “(Perjanjian) dilaksanakan bersama untuk meningkatkan kerjasama bagi membantu satu sama lain mengatasi pelbagai ancaman keselamatan dan menggalakkan keamanan dan kestabilan yang mampan di rantau Asia Pasifik,” katanya pada sidang akhbar bersama hari ini.

    Prabowo Subianto (kanan) dan Richard Marles berjabat tangan selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Pertahanan Australia-Indonesia (DCA) di Akademi Tentera di Magelang, Jawa Tengah, kelmarin. – AFP

    Prabowo menegaskan bahawa perjanjian itu bukan pakatan ketenteraan atau perikatan ketenteraan, sambil menambah beliau berharap dapat menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan Australia pada masa akan datang.

    Marles berkata pakatan itu adalah perjanjian pertahanan paling penting antara kedua-dua negara, menyifatkannya sebagai ‘perjanjian peringkat triti.’

    “Kita akan melihat kebolehoperasian yang lebih besar antara pasukan pertahanan kita, keupayaan untuk beroperasi dari negara masing-masing,” kata Marles.

    Perjanjian itu mula-mula diumumkan apabila bakal presiden Prabowo, yang bakal menggantikan Presiden Joko Widodo pada Oktober, melawat Canberra minggu lalu.

    Kedua-dua negara akan mengadakan latihan ketenteraan bersama di Jawa Timur pada November, melibatkan hampir 2,000 anggota. Latihan itu, yang akan membabitkan latihan
    udara, darat, laut dan siber, akan menjadi “latihan terbesar yang akan dijalankan Australia di luar negara tahun ini,” kata Marles. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda