Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia berpotensi tangani isu perubahan iklim global

    JAKARTA, 5 SEPT – Presiden Joko Widodo (Jokowi) menekankan peranan penting hutan bakau Indonesia dalam penyerapan karbon, dengan menyatakan 3.3 juta hektar bakau di negara itu adalah 12 kali lebih berkesan dalam menyerap karbon berbanding hutan hujan tropika.

    Ini menyerlahkan sumbangan penting Indonesia kepada usaha mitigasi perubahan iklim global, lapor agensi berita ANTARA.

    Presiden menyampaikan perkara itu sambil menekankan potensi Indonesia untuk menangani isu perubahan iklim global pada Forum Kelestarian Antarabangsa Indonesia (ISF) 2024 di Pusat Konvensyen Jakarta, hari ini.

    “Hutan bakau Indonesia adalah yang terbesar di dunia, meliputi 3.3 juta hektar dan mampu menyerap karbon lapan hingga 12 kali lebih baik daripada hutan hujan tropika,” katanya.

    Beliau juga menyatakan bahawa beberapa pihak tidak menyedari potensi bakau yang dimiliki Indonesia untuk bertindak balas terhadap kesan perubahan iklim.

    Presiden menyeru dunia supaya tidak meragui komitmen Indonesia untuk mencapai pelepasan sifar bersih (NZE) dan menyumbang kepada dunia dengan lebih jauh.

    Tambahan pula, beliau menggariskan bahawa Indonesia juga mempunyai potensi besar dalam tenaga hijau, mencecah lebih 3,600 gigawatt.

    “Kami juga mempunyai loji jana kuasa solar. Loji jana kuasa solar terapung di Takungan Cirata, dengan kapasiti puncak 192 megawatt, adalah yang terbesar di Asia Tenggara dan ketiga terbesar di dunia,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menegaskan semua potensi yang dimiliki Indonesia boleh dimanfaatkan secara optimum jika diperkukuhkan dengan penyelidikan serta pelaburan atau pembiayaan daripada negara maju. – Bernama

    Jokowi ketika berucap pada majlis perasmian ISF 2024 di Jakarta, Indonesia, 5 September. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda