Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indonesia, Rusia mulakan latihan bersama

    JAKARTA, 4 NOV – Indonesia dan Rusia memulakan latihan bersama tentera laut mereka yang pertama hari ini, ketika pemimpin baharu kepulauan Asia Tenggara itu berusaha untuk mengeratkan hubungan dengan Moscow.

    Indonesia mengekalkan dasar luar yang neutral, enggan berpihak dalam konflik Ukraine atau dalam persaingan kuasa besar antara Washington dan Beijing.

    Namun, Presiden Indonesia yang baru dilantik, Prabowo Subianto, telah berjanji untuk lebih berani di pentas dunia dan pada Julai lalu mengunjungi Moscow untuk berbincang dengan Vladimir Putin.

    Latihan selama lima hari itu akan dijalankan dalam dua fasa di sebuah pangkalan tentera laut di Surabaya dan di Laut Jawa.

    Rusia telah menghantar tiga kapal perang kelas korvet, sebuah kapal tangki sederhana, sebuah helikopter tentera, dan sebuah bot penarik, menurut kenyataan tentera laut Indonesia minggu lalu.

    Penyiar tempatan menunjukkan kapal-kapal Rusia yang berlabuh di pelabuhan dan disambut oleh sebuah pancaragam Indonesia kelmarin sebelum latihan bermula.

    Penganalisis menyatakan bahawa latihan bersama itu menandakan bahawa Prabowo memulakan perubahan ketara dalam dasar luar, berikrar untuk memperkukuh pakatan Jakarta dengan kuasa besar.

    Semasa kunjungan ke Kremlin pada Julai, Prabowo menyatakan hasratnya untuk memperdalam hubungan dengan Rusia.

    “Kami menganggap Rusia sebagai sahabat yang hebat dan saya ingin meneruskan serta meningkatkan hubungan ini,” kata Prabowo kepada Putin. – AFP

    Kapal-kapal korvet Tentera Laut Rusia berlabuh di jeti Jamrud Utara pelabuhan Tanjung Perak untuk latihan ketenteraan bersama antara Indonesia dan Rusia, di Surabaya kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda