Thursday, July 4, 2024
22.7 C
Brunei

    -

    Indonesia tingkat keselamatan sempena persidangan ASEAN

    LABUAN BAJO, 8 MEI – Indonesia mengerahkan 12,627 anggota tentera dan polis untuk memastikan tahap keselamatan maksimum ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, yang bermula hari ini dan berlangsung sehingga 11 Mei.

    Gabungan pihak keselamatan turut melibatkan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan, agensi perisikan negara serta agensi siber dan keselamatan negara, kata Panglima Tentera Indonesia, Laksamana Yudo Margono.

    Beliau berkata dalam satu kenyataan anggota dan peralatan logistik termasuk tujuh kapal perang ditempatkan di pelbagai lokasi strategik untuk melakukan pemeriksaan ketat terutamanya sekitar kawasan penginapan pemimpin dan ketua kerajaan yang akan tiba esok.

    Anggota ditugaskan membuat rondaan bermotosikal bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan dan beberapa bahagian terus dikawal polis trafik bagi menghalang pengguna jalan raya daripada menceroboh kawasan larangan, katanya.

    Labuan Bajo merupakan pekan kecil berpopulasi 6,973 orang di bandar Manggarai Barat, kepulauan Flores di provinsi Nusa Tenggara Timur.

    Sidang Kemuncak itu bermula dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) yang membincangkan sebilangan perkara termasuk keutamaan Indonesia selaku Pengerusi ASEAN pada 2023, selain siri mesyuarat di peringkat Menteri Luar dan Sidang Kemuncak ASEAN ke 42.

    Malaysia diwakili ketua setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dalam mesyuarat SOM. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di Labuan Bajo pada 9 Mei sementara Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan tiba petang ini.

    Sebanyak lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota ASEAN akan menyertai persidangan itu kecuali dari Myanmar yang tidak dijemput dan Thailand yang berdepan pilihan raya pada 14 Mei. – Bernama

    Anggota Keselamatan Indonesia melakukan kawalan keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2023 di Labuan Bajo pada 8 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir landa China, ribuan dipindah

    BEIJING, 3 JULAI – Hampir suku juta penduduk terpaksa dipindahkan di timur China ketika hujan lebat melanda sebahagian besar wilayah negara, menyebabkan Sungai Yangtze...