JAKARTA, 3 OKT – Kerajaan Indonesia menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat tragedi yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, di Malang, Jawa Timur, Sabtu malam yang meragut 125 nyawa termasuk 32 orang kanak-kanak.
Jawatankuasa yang diketuai Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Mohammad Mahfud MD turut dianggotai 12 lagi ahli yang memiliki latar belakang menteri, anggota persatuan bola sepak profesional, ahli akademik dan wartawan sukan.
“Jawatankuasa ini akan bekerja selama dua minggu atau paling lama sebulan…Hasil siasatan berserta cadangan akan dilaporkan kepada Presiden Joko Widodo,” kata Mahfud dalam sidang media yang disiarkan stesen televisyen tempatan. Mahfud turut mengarahkan Ketua Polis Negara Jenderal Listyo Sigit Prabowo agar segera mendedahkan nama-nama yang telah menyebabkan tragedi.
Panglima Tentera Jenderal Andika Perkasa juga diminta membuka kertas siasatan berhubung video tular melibatkan anggotanya melakukan tindakan berlebihan semasa insiden.
“Apakah video itu benar atau tidak, Jenderal Andika akan segera meneliti dan mengumumkannya kepada kita semua,” katanya.
Terdahulu, Mahfud berkata kerajaan akan menyampaikan pampasan 50 juta rupiah (sekitar RM15,000) kepada setiap anggota keluarga yang terkorban dalam insiden tragis selepas perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya.
Sementara itu, Presiden Arema FC Gilang Widya Pramana hari ini memohon maaf dan menyatakan sedia bertanggungjawab penuh atas tragedi 1 Oktober di Stadium Kanjuruhan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/10/P10-B_04102022.jpg)