JAKARTA, 24 NOV – Indonesia berusaha untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongannya bagi menyokong ekonomi negara, menurut Menteri Perancang Pembangunan Negara Rachmat Pambudy, lapor agensi berita Indonesia, ANTARA.
“Kita tahu pelancong mempunyai kesan pengganda yang ketara kepada ekonomi Indonesia. Kedua-dua pelancong antarabangsa dan domestik boleh dipercayai sebagai penampan kepada pertumbuhan ekonomi kita,” katanya pada Tinjauan Ekonomi Teras 2025 di Jakarta, kelmarin.
“Memandangkan sektor ini sememangnya merupakan penampan utama untuk ekonomi kita, kita mesti memberi perhatian yang serius terhadapnya,” tambah Pambudy.
Menjelang suku ketiga 2024, Indonesia menerima 10.7 juta pelancong asing, dengan perbelanjaan purata AS$1,375.08 setiap lawatan.
Bagi pelancongan domestik, setakat September 2024, sebanyak 757.96 juta perjalanan direkodkan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, di Kementerian Perancang Pembangunan Negara Amalia Adininggar Widyasanti, menekankan pendapatan pertukaran asing yang agak rendah daripada pelancong asing yang melawat Indonesia, berbanding Thailand, Malaysia dan Singapura.
Sebagai contoh, beliau berkata hasil pertukaran asing Indonesia daripada pelancongan ialah AS$17 bilion setahun, manakala Thailand menjana AS$64.3 bilion setiap tahun.
Memetik perbandingan lain, beliau berkata bahawa purata perbelanjaan setiap ketibaan di Australia ialah AS$5,100, di Thailand ialah AS$1,610, dan di Singapura ialah AS$1,060, manakala purata Indonesia hanya AS$1,050.
“Oleh itu, menjelang 2029, kami menyasarkan pelancongan menyumbang AS$32 bilion hingga AS$39 bilion dalam pertukaran asing negara, dengan 29 juta orang bekerja dalam sektor itu, menyumbang 5 peratus kepada KDNK dan peningkatan 14.4 peratus dalam kebajikan masyarakat,” jelasnya.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, kementerian menyasarkan untuk meningkatkan purata perbelanjaan pelancong asing kepada AS$1,600 setiap lawatan, meningkatkan pelaburan dalam pelancongan kepada Rp88.7 trilion dan menjana sumbangan Rp49.1 trilion daripada 13 Destinasi Pelancongan Utama. – Bernama