KUCHING, 15 NOV – Industri inap desa Sarawak menjana pendapatan RM4.95 juta dari Januari hingga September tahun ini sambil menarik 41,168 pengunjung sepanjang tempoh itu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan memberitahu Dewan Undangan Negeri Sarawak bahawa pada masa ini terdapat 57 kluster inap desa, dengan 746 pengusaha dan dua kluster “kampungstay” di negeri tersebut.
“Tiga pengusaha berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Persekutuan) (MOTAC).
“Jumlah bilik yang disediakan ialah 1,587 untuk inap desa dan 30 bilik bagi kampungstay,” katanya menjawab soalan Datuk Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) pada sesi soal jawab persidangan itu di sini hari ini.
Kementeriannya secara aktif menyokong pelbagai festival makanan serta program yang mempromosikan masakan warisan Sarawak di dalam dan luar negara melalui geran acara pelancongan termasuk dana pemudah cara bagi warisan, seni dan budaya.
Antaranya ialah Pesta Nuba Laya di Limbang, Pesta Makanan dan Kebudayaan Samarahan, Pesta Makanan dan Seni Betong, Pesta Kuih Bulan Antara Budaya Kuching, Pesta Makan Tahun Kedayan (Limbang), Pesta Nukenen (Bario), Rasa Borneo (Miri) serta Pesta Kuih Bulan (Siniawan, Bau). – Bernama