Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Negara Brunei Darussalam telah memulakan usahanya untuk membangunkan dan memajukan kewangan Islam seawal 1991 di mana usaha itu berpandukan kepada falsafah negara, Melayu Islam Beraja serta juga prinsip Maqasid Syariah iaitu untuk memulihara dan mempromosikan agama, kehidupan, intelek, harta dan zuriat.
Prinsip-prinsip tersebut telah membentuk strategi-strategi kebangsaan yang diguna pakai oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di mana ia menyediakan hala tuju yang jelas untuk mengemudi negara beralih kepada sebuah ekonomi yang mampan dan inovatif.
Perkara itu dinyatakan dalam ucaptama Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Kemuncak Kewangan Islam Brunei 2023, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Ucaptama yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani itu mengatakan bahawa berdasarkan Laporan Islamic Financial Services Industry Stability 2022, Industri Perkhidmatan Kewangan Islam Global (IFSI) diunjurkan kekal berdaya tahan walaupun berhadapan dengan kemungkinan risiko serta unjuran pertumbuhan ekonomi global yang lebih rendah disebabkan kemungkinan kebangkitan semula COVID dan inflasi yang meningkat.
Prospek positif berkenaan bergantung pada pembukaan semula dan pemulihan beransur-ansur ekonomi, proses transformasi digital yang dipercepatkan serta peningkatan prestasi daya tahan dan keutuhan kewangan yang dicatatkan pada 2022.
Daya tahan berkenaan dicerminkan dalam laporan daripada Islamic Financial Development Indicator (IFDI) 2022 yang mengunjurkan pertumbuhan industri berkenaan telah mencapai AS$5.9 trilion menjelang 2026 daripada AS$4 trilion pada 2021.
Yang Berhormat Dato dalam ucaptama itu, mengongsikan pertumbuhan mantap Negara Brunei Darussalam dalam kewangan Islam telah diiktiraf oleh Laporan IFDI 2022 di mana Brunei berada di kedudukan ke-12 daripada 136 negara dengan skor IFDI 31 berpandukan kepada lima petunjuk iaitu prestasi kewangan, urus tadbir, kemampanan, ilmu pengetahuan dan kesedaran.
Laporan itu juga menempatkan Brunei di kedudukan ke-4 bagi Acara di bawah petunjuk Kesedaran dan tangga ke-5 bagi Penyelidikan di bawah petunjuk Ilmu Pengetahuan.
Seterusnya Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyatakan Brunei telah menduduki tempat ke-20 dalam Global Islamic FinTech Index (GIFT) pada 2022 bersama Bangladesh dan Turkiye iaitu meningkat daripada tempat ke-31 pada tahun sebelumnya.
Indeks GIFT 2022 merupakan indeks komposit 19 petunjuk utama yang menandakan sesebuah negara kondusif kepada pertumbuhan pasaran Fintech Islam dan ekosistem, bakat, peraturan, infrastruktur serta modal.
Kejayaan negara dalam membangunkan kewangan Islam yang tidak berbelah-bahagi adalah hasil usaha bersepadu daripada pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan industri kewangan di mana BDCB sebagai pengawal selia kewangan telah memainkan peranan penting dalam menubuhkan kerangka yang diperlukan untuk memupuk sebuah ekosistem yang berkembang maju bagi kewangan Islam.
Industri kewangan juga telah memainkan peranan aktif bagi memajukan kewangan Islam yang telah menyaksikan ikrar $2 bilion dibuat oleh sebuah bank Islam ke arah usaha kemampanan, pengenalan penyelesaian digital bagi produk-produk takaful, penawaran produk-produk pelaburan Islam oleh pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal konvensional menerusi sebuah jendela Islam serta pengurus aset Islam tempatan menjadi ahli kepada Prinsip Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelaburan Bertanggungjawab.
Di samping sektor kewangan, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pemain-pemain industri yang lain seperti syarikat-syarikat telekomunikasi dan FinTech telah menyumbang kepada pembangunan kewangan Islam melalui gerbang pembayaran e-Zakat dan platform crowdfunding bagi PMKS di mana inisiatif-inisiatif seumpama itu, juga menyumbang kepada merealisasikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara pintar.
Tidak dapat dinafikan, tambahnya, kejayaan agenda pembangunan bergantung pada bakat dan set kemahiran di mana BILIF sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di Brunei Darussalam memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan dengan menawarkan program-program perkembangan dan pembelajaran serta persijilan antarabangsa.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew seterusnya menyatakan bahawa memajukan penyelesaian kewangan Islam inovatif boleh memacu negara ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di mana Kewangan Islam yang berpandukan kepada prinsip Maqasid Syariah. Ia berkongsi prinsip yang serupa dengan kewangan mampan iaitu pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan, pembasmian kemiskinan dan pengagihan kekayaan, penyertaan sosial dan kewangan serta pemuliharaan alam sekitar.
Selain itu, beliau juga mengongsikan mengenai penubuhan Zon Ekonomi Digital Patuh Syariah yang disokong penuh oleh Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Brunei Darussalam menerusi kerjasama swasta dan awam.