Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri sektor makanan terus diberi perhatian

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) terus memberi tumpuan dan penekanan kepada perancangan, pelaksanaan program dan inisiatif yang menjurus kepada usaha bagi mendukung pertumbuhan serta peningkatan keluaran industri di bawah sektor makanan iaitu keluaran daripada sektor pertanian dan perikanan.

    Penekanan itu adalah selaras dengan Peta Jalan Industri Makanan yang menumpukan kepada usaha meningkatkan keluaran makanan yang berkualiti, halal dan selamat dari industri keluaran utama.

    Industri keluaran utama itu adalah keluaran hasil industri ternakan dan tanaman bagi sektor pertanian, industri penangkapan ikan dan akuakultur bagi sektor perikanan serta keluaran daripada aktiviti industri pemprosesan dan nilai tambah berasaskan hasil pertanian dan perikanan termasuk mengukuhkan keseluruhan ekosistem rangkaian nilai yang berkaitan dengan industri berkenaan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam ucapan alu-aluannya pada Sesi Muzakarah KSSUP dengan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.

    Beliau berkata dengan adanya perkembangan dan pertumbuhan keluaran yang positif dan signifikan serta pengukuhan keseluruhan ekosistem rangkaian nilai yang berkaitan dengan industri di bawah sektor makanan, ia diharap akan dapat menyumbang secara signifikan kepada peningkatan KDNK, sekuriti makanan dan kepada pertumbuhan jumlah dan nilai eksport negara.

    Menyentuh mengenai eksport, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Brunei telah berjaya mengeksport beberapa produk hasil pertanian seperti tembikai wangi dan perikanan seperti udang dan ikan beku keluar negara serta terkini, kejayaan mengeksport telur ayam ke Singapura buat julung kalinya.

    “Pada 1 Februari lalu, sekitar 300,000 biji telur ayam telah berjaya dieksport ke Singapura dan ini akan terus dipertingkatkan,” kongsinya.

    Yang Berhormat Dato berkata lagi dengan kejayaan dalam mengeksport telur ke Singapura, pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan pihak autoriti serta para pengusaha yang berkenaan untuk membuat penyelarasan, perancangan dan persiapan bersesuaian bagi mengeksport ayam segar dan produk berasaskan daging dan produk pertanian dan perikanan, untuk dieksport ke Singapura dan negara-negara lain.

    Yang Berhormat Dr Haji Mahali menyampaikan ucapan balas pada Sesi Muzakarah KSSUP dengan ahli MMN.
    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa berucap pada majlis muzakarah itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda