Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Infaq Ikhlas, MPK Menunggol tandatangani MoU

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Kumpulan Infaq Ikhlas, peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-30 telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tentang Majlis Perundingan Kampung (MPK) Menunggol bagi memperkukuhkan projek jangkauan masyarakat yang dikendalikannya, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyaksikan penandatanganan MoU bagi projek Peningkatan Aktiviti Berkaitan Ekonomi dan Pelancongan di Kampung Menunggol yang berlangsung di Taman Riadah Bukit Batu Bujang Pahang itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.

    Menandatangani MoU bagi pihak Kumpulan Infaq Ikhlas ialah Leftenan Kolonel (U) Amierul Halpi bin Talip manakala itu, Ketua Kampung Menunggol, Haji Ibrahim bin Haji Osman mewakili MPK Menunggol.

    MoU tersebut bermatlamat untuk memastikan kelestarian Projek Jangkauan Masyarakat Kampung Menunggol mencapai tujuan seperti yang dihasratkan oleh kedua-dua pihak.

    Majlis turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat swasta dan penaja-penaja yang terlibat bagi memberikan sokongan dalam menjayakan aktiviti-aktiviti projek jangkauan masyarakat yang dikendalikan oleh kumpulan berkenaan.

    Majlis mendatangani MoU di antara Kumpulan Infaq Ikhlas dan MPK Menunggol. – GAMBAR SERAHAN KUMPULAN INFAQ IKHLAS

    Acara kemuncak majlis ialah perasmian papan tanda Taman Riadah Bukit Batu Bujang Pahang yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Di bawah Projek Jangkauan Masyarakat berkenaan, trek pendakian Bukit Batu Bujang Pahang akan dipasang dengan lampu-lampu solar, papan-papan tanda yang menunjukkan peta jalan dan hala tuju serta kod QR bagi daftar masuk sebelum mendaki bukit berkenaan.

    Usaha berkenaan adalah untuk menarik minat orang ramai khususnya mereka yang meminati aktiviti mendaki bukit agar datang berkunjung ke Bukit Batu Bujang Pahang dan seterusnya memastikan keselamatan serta keselesaan mereka ketika berada di kawasan berkenaan.

    Semasa majlis tersebut, para jemputan juga berkesempatan untuk menyaksikan dan membeli produk-produk hasil penduduk Kampung Menunggol seperti keropok udang, kelupis, madu kelulut, ikan rumahan liking, sayur dan buah-buahan tempatan.

    Sepanjang mengendalikan Projek Jangkauan Masyarakat di Kampung Menunggol, Kumpulan Infaq Ikhlas dengan kerjasama MPK Menunggol serta sokongan beberapa agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat-syarikat penaja, telah melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti kempen bergotong-royong membersihkan kawasan jeti dan Taman Riadah Bukit Batu Bujang Pahang, membaiki jeti Berambang Menunggol dan kemudahan awam yang terdapat di Taman Riadah Bukit Batu Bujang Pahang.

    Selain itu, kumpulan tersebut juga telah berkolaborasi dengan Syarikat Makan Ceria Sdn Berhad dalam memberikan sumbangan makanan kepada pelajar-pelajar di Sekolah Rendah Nakhoda Abdul Rashid, Kampung Menunggol.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...