Kebiasaannya pada bulan Syawal, masyarakat di negara ini akan mengadakan undangan rumah terbuka dengan tujuan untuk merapatkan silaturahim sesama keluarga, sanak saudara, sahabat jauh mahupun dekat, di samping untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Raya.
Kemeriahan dan kegembiraan yang dirasa dalam suasana berkunjung ke rumah terbuka akan lebih terserlah lagi daripada kunjungan biasa. Namun demikian, sekadar ingatan bersama termasuk untuk diri saya sendiri dalam suasana tersebut kita jangan terlalu leka sehinggakan alpa tehadap tanggungjawab dalam hidup berjiran.
Kesibukan jadual kerja dan komitmen masing-masing dalam rutin harian kadangkala menjejaskan hubungan sosial dengan jiran terdekat. Kehidupan berjiran akan menjadi renggang malahan yang lebih menyedihkan lagi sekiranya tidak pernah bertegur sapa antara satu dengan lainnya.
Tetapi bukan pula saya bermaksud untuk menjaga tepi kain orang lain, namun sekadar ingatan agar setidak-tidaknya keharmonian dan kesejahteraan hidup berjiran akan dapat dipelihara dengan kunjungan ke rumah tetangga.
Bagi saya berkunjung ke rumah jiran semasa Hari Raya adalah masa yang paling sesuai dalam usaha mengukuhkan lagi silaturahim. Bahkan ia juga merupakan tindakan yang sangat baik dan terpuji kerana daripada kunjungan tersebut secara tidak langsung menunjukkan sikap saling hormat-menghormati dan prihatin. Ini dapat memperkukuh lagi hubungan antara tetangga sekali gus mencipta suasana keakraban dalam lingkungan sekeliling.
Namun harus diingat terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan semasa berkunjung ke rumah jiran semasa raya antaranya ialah menunjukkan sikap yang sopan terutama sekali dalam tingkah laku dan pertuturan.
Di samping itu, mengehadkan waktu kunjungan juga penting agar tidak mengganggu masa atau kegiatan lain mereka.
Dengan mempraktikkan perkara tersebut awda boleh menjadikan kunjungan ke rumah jiran semasa Hari Raya menjadi kenangan yang menggembirakan di samping mengeratkan lagi hubungan baik sesama jiran.
Justeru, sisa-sisa hari yang tinggal di hari dan bulan yang mulia ini alangkah baiknya merebut kesempatan itu untuk berkunjung ke rumah jiran tetangga.
Dang Fitriyah