Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Perkembangan, Kementerian Pendidikan telah mengesan semua pelajar pasca menengah lepasan ‘O’ Level melalui Cohort Tracking sejak 2018 untuk mengesan di mana mereka melanjutkan pengajian selepas ‘O’ Level.
Berdasarkan kajian berkenaan, didapati secara purata bahawa 60 hingga 65 peratus pelajar akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pada tahun berikutnya.
Penerangan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh ketika menjawab persoalan yang dikemukakan mengenai pelajar lepasan ‘O’ Level yang tercicir daripada ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin dalam Permesyuaratan MMN yang berlangsung di Dewan majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Datin turut mengongsikan bahawa kira-kira 10 peratus secara amnya akan mendapatkan pekerjaan dengan menggunakan kelulusan ‘O’ Level mereka dan selebihnya iaitu 20 hingga 25 peratus, dikategorikan sebagai Not being in employment, education and training, yang mana Kementerian Pendidikan telah mengusahakan beberapa inisiatif untuk meluaskan lagi akses kepada pendidikan pasca menengah bagi memberikan peluang mereka mendapat ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam mencari pekerjaan yang berkualiti.
Beliau menambah bahawa antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ialah institusi-institusi TVET awam atau Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah menawarkan pengambilan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun bagi memberikan peluang bagi ramai pelajar lepasan ‘O’ Level boleh memohon ke PB dan IBTE.



Sementara itu, sejak 2018, pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah menyediakan skim biasiswa kepada penuntut lepasan menengah iaitu Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPTV) iaitu bagi penuntut yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di institusi-institusi swasta.
Di samping itu, Skim Pembangunan Modal Insan melalui pendidikan TVET di institusi pengajian tinggi swasta atau Skim TVET, juga telah diperkenalkan bagi membantu penuntut-penuntut lepasan sekolah menengah khususnya penuntut yang hanya memperoleh tiga ‘O’ Level ke bawah untuk diberikan latihan dan pendedahan industri sebelum menceburi alam pekerjaan.
Manakala itu, bagi mereka yang berhasrat untuk menduduki semula peperiksaan ‘O’ Level atau ‘A’ Level, Kementerian Pendidikan melalui Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, juga menawarkan program peningkatan akademik pada sebelah malam atau hujung minggu untuk memberikan mereka peluang kedua untuk mereka ini untuk menambah baik keputusan mereka.
Turut mengulas mengenai usaha membantu pelajar-pelajar yang tercicir, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad menjelaskan bahawa setentunya pendidikan itu satu perkara yang amat penting di mana ia boleh sahaja mengubah nasib setiap individu untuk mengubah nasib kehidupan mereka.
Bagaimanapun, ulasnya, pendidikan memang tidak terhad kepada bidang akademik sahaja tetapi ia juga meliputi bidang kemahiran iaitu kemahiran yang boleh saja membuka peluang bagi individu berkenaan untuk menceburi bidang-bidang tertentu dalam sektor-sektor ekonomi yang berkenaan.
Dalam hubungan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pembangunan Belia memberikan peluang latihan kemahiran kepada belia-belia atau penuntut-penuntut yang terkandas dan tidak dapat meneruskan pendidikan akademik mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

