Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif Serantau, perdagangan luar pacu pembangunan ekonomi

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Pada pembukaan sesi pleno bagi Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan (ABAC) hari kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan kepentingan Negara Brunei Darussalam untuk bersama-sama mempertahankan optimisme dan tekad kuat untuk terus maju ke arah pertumbuhan ekonomi yang sejajar dengan negara-negara lain, terutamanya setelah mengalami krisis politik dan pandemik COVID-19.

    Meskipun bermula secara perlahan, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 2.6 peratus tahun ini dengan peningkatan dalam sektor minyak dan gas dan sektor bukan minyak dan gas.

    Manakala jumlah perdagangan meningkat sebanyak 7.9 peratus pada Januari 2023, dan pengangguran turun daripada 7.3 peratus kepada 4.9 peratus pada 2021 dengan pekerjaan baharu terus dicipta walaupun semasa pandemik.

    Negara Brunei Darussalam turut mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan dalam sektor hiliran dan bukan minyak dan gas seperti dalam akuakultur dan perlu meneroka peluang di pasaran global dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran sama dalam merebut peluang ekonomi, selaras dengan dasar perdagangan luar negara.

    Penglibatan dalam inisiatif serantau seperti RCEP, CPTPP, dan IPEF juga telah menyokong agenda domestik dalam mengekalkan pembangunan ekonomi dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan, khususnya PMKS.

    Turut hadir pada sesi tersebut ialah ahli ABAC baharu dilantik yang menghadiri mesyuarat itu buat kali pertama, dan mesyuarat tersebut turut meluluskan Laporan Persidangan untuk Mesyuarat ABAC Pertama pada 2023.

    Sebelum ditangguhkan, taklimat mengenai Tinjauan Ekonomi Semasa telah diadakan untuk ahli-ahli ABAC, dan pembentangan mengenai keutamaan BAC ASEAN untuk 2023 turut dibentangkan dan Pelaksanaan Implementasi ABAC serta surat kepada Menteri Sektoral.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menyampaikan ucaptama pada acara tersebut.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai pada acara ABAC.
    Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
    Arsjad Rasjid ketika menyampaikan pembentangan.
    Antara yang hadir ke majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda