Monday, March 10, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Insiden AJL35 masih menghantui

    Bagaikan igauan ngeri, begitulah perasaan penyanyi sensasi, Nabila Razali, 30, mengenangkan insiden terkucil ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), tahun lalu.

    Tentunya, titik hitam yang terpalit itu mengekorinya sepanjang hidup. Setiap kali tampil mengadakan persembahan secara live termasuklah ketika majlis pelancaran single baharu berjudul Aku Terluka, wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu tidak mampu menahan perasaan gementar.

    Tangannya masih menggigil, meskipun selepas selesai memperdengarkan single baharunya itu. Sehingga kini, apa yang berlaku masih menjadi mimpi ngeri dalam kehidupannya.

    Namun, setiap manusia tidak dilahirkan sempurna. Untuk mencari kesempurnaan dan memperbaiki kekurangan diri, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali berusaha mencuri masa mengikuti kelas vokal bersama guru vokal, Shaffiq Erwin.

    Nabila berkata, insiden terkucil itu membuatkannya lebih berhati-hati dan berdebar setiap kali naik ke pentas.

    Nabila mengongsikan dia kini berusaha mencuri masa mengikuti kelas vokal bersama guru vokal, Shaffiq Erwin. – Agensi

    Bohonglah, katanya, dia tidak terkesan langsung dengan hentam yang diterima, malah sehingga kini, detik itu masih melayang-layang dalam fikirannya.

    Enggan mengulangi kesilapan sama, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia itu tidak berputus asa untuk mencari jalan keluar.

    “Insiden terkucil ini memalit titik hitam yang tak mampu dilupakan. Jadi, bayangan ini bagaikan mengekori saya setiap kali menaiki pentas.

    “Sebagai penyanyi, sudah tentu saya mempunyai jangkaan apa yang mahu dipersembahkan kepada penonton, namun timbul juga kebimbangan seandainya persembahan tidak sampai.

    “Jadi, saya enggan berdepan dengan episod pisang berbuah dua kali. Saya cari masa dengan menyertai kelas vokal.

    “Jujurnya, saya masih terkesan dengan keadaan ini, cuma tidaklah terlalu trauma seperti sebelum ini. Jadi, saya akan pastikan bersedia bukan sahaja dari segi vokal, malah tatarias dan penampilan,” katanya kepada BH Online. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda