Muncul sebagai artis Malaysia paling tinggi distrim sepanjang 2024 menerusi carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), kumpulan Insomniacks tetap merendah diri dengan kejayaan tersebut.
Menurut mStar, malah kumpulan berkenaan lebih selesa bersederhana dan tidak menjadikan populariti sebagai sasaran sebaliknya lebih memberi tumpuan memperjuangkan karya mereka kepada pendengar.
Salah seorang anggotanya iaitu Iskandar memberitahu walaupun mencipta kejayaan namun mereka tetap realistik bahawa bukan semua penggemar muzik boleh menerima karya ciptaan mereka.
“Kami lebih suka kepada peminat yang suka dengan muzik kami. Itu tujuan utama, hasilkan lagu untuk mereka yang suka.
“Apabila karya kami sampai kepada kelompok peminat tersendiri, itu juga satu kejayaan besar. Bukannya kami nak ‘tapau’ satu dunia.
“Tidak pernah pun kami nak kejar menjadi popular, lebih selesa sederhana,” katanya.
Iskandar berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert Universal Music Malaysia yang berlangsung pada petang kelmarin.
Kumpulan itu bakal mengadakan konsert di Zepp, Kuala Lumpur pada 19 Julai depan selain satu lagu lagi persembahan di Capitol Theatre, Singapura pada 29 November 2025.
Selain Iskandar kumpulan ini juga dianggotai oleh Danial dan Iqie. – Agensi
