Thursday, September 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Intan enggan dedah identiti tunang

    Sudah terang lagi bersuluh, gosip pertunangan pelakon sensasi, Intan Najuwa bersama individu bergelar Datuk bukan rahsia lagi.

    Ia diperkukuhkan lagi Intan dilihat hadir ke sebuah acara bersama seorang ‘peneman’ dipercayai tunangnya itu.

    Bagaimanapun, identiti jejaka itu belum dapat dipastikan berikutan Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, 26, tetap dengan pendirian mengunci mulut mengulas berhubung soal peribadi.

    Biarpun mengakui hatinya sudah menjadi milik seseorang, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu menegaskan, belum bersedia berkongsi isi hatinya dan hanya mahu memberi fokus terhadap kerjayanya, buat masa ini.

    Intan berkata, dia tidak mahu terlalu menjaja kisah peribadi kepada khalayak, sebaliknya lebih selesa menunggu waktu sesuai untuk membuat pengumuman mengenai statusnya.

    Intan enggan jual kisah peribadi, sebaliknya selesa menunggu waktu yang sesuai untuk membuat pengumuman mengenai status diri. – Agensi

    “Saya tiada apa yang mahu dikongsikan mengenai soal peribadi. Macam biasalah hal peribadi tak perlu disensasikan.

    “Tetapi, apa yang saya boleh katakan, pintu hati saya sudah dijentik seseorang, cuma biarlah rahsia dahulu.

    “Bagi yang tahu, tahulah. Perancangan ke fasa seterusnya akan dimaklumkan jika ada masa yang sesuai.

    “Kalau boleh soal peribadi saya tidak mahu ‘jual’ kepada khalayak atau media sosial.

    “Selagi boleh simpan, saya akan lakukannya. Bagaimanapun, seperti apa yang sudah diperkatakan, saya sudah memiliki seseorang dan gembira dengannya,” katanya kepada BH Online.

    Menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu mahu lebih berhati-hati dalam soal perhubu-ngan bersama jejaka pilihan dengan tidak terlalu menghebahkan termasuk membuat perjanjian di luar kemampuan.

    “Kali ini, saya mengambil langkah menyimpan soal peribadi supaya tidak ada perkara negatif yang boleh mengeruhkan keadaan pada masa akan datang.

    “Soal melangkah ke fasa seterusnya bukan saya tidak mahu cakap sebab takut dan masih belum bersedia. Saya tidak mahu berkongsi kerana ia adalah kisah peribadi sebab orang boleh muak.

    “Jadi, disebabkan umur saya sudah semakin meningkat dan matang berfikir, jadi lebih baik saya simpan soal peribadi sedikit dan hanya berkongsi hal kerjaya dan sebagainya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda