Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Patuhi peraturan, berbuat baik, berhati-hati dengan apa yang dikongsi dalam talian, fikir sebelum post, jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali, periksa ejaan dan tatabahasa sebelum post, jaga privasi, lapor dan rekod kelakuan buruk.
Ini adalah beberapa nasihat yang diberikan oleh Pegawai Pemasaran dan Kesedaran di ITPSS Sdn Bhd dan ahli Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob untuk murid-murid Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) dalam taklimatnya mengenai Social Media Netiquette pada majlis penutup bagi Bulan Mata Pelajaran ICT sekolah berkenaan.
Antara yang hadir mendengarkan taklimat berkenaan ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah; cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah dan cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Awang Mohammad Ashraf As-Seddiq bin Yusrin.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi.
Dengan tema ‘Memperkasa kemahiran murid dan guru menerusi literasi digital’, Bulan Mata Pelajaran ICT bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan sekuriti dalam talian.
Selain itu juga untuk meningkatkan kecekapan murid-murid dan guru dalam kemahiran digital, mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, mempromosikan pemikiran kritikal, kreativiti dan pemilikan dalam pengekodan serta membantu melengkapkan murid-murid dengan kemahiran abad ke-21 untuk bersedia bagi masa depan.
