Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Integriti golongan belia dalam menanai kedaulatan negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tahun ini genaplah sudah 39 tahun Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan yang pastinya satu anugerah dan rahmat Allah SWT kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang wajib disyukuri sebagai tanda kecintaan kita pada agama, negara dan bangsa.

    Detik-detik kemerdekaan dengan laungan “Allahu Akhbar” sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada 1 Januari 1984 selepas detik jam 12 tengah malam itu sentiasa menjadi ristaan sepanjang zaman. Tanpanya kita tidak dikenali sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

    Seiring berjalannya waktu dengan meniti cabaran arus globalisasi, satu hakikat yang perlu ditanam dalam jati diri setiap insan yang bergelar anak watan bahawa tanggungjawab ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 bukanlah hanya terletak kepada pihak kerajaan semata-mata, akan tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak iaitu swasta, pemimpin akar umbi, persatuan-persatuan dan semua indivi-du di negara ini termasuklah golongan belia.

    Jadilah belia berintegriti

    Hadirnya golongan belia sebagai tiang harapan sesebuah bangsa dan negara itu, bukanlah hanya diukur pada kuantiti mereka sebagai sumber tenaga manusia semata-mata, namun apa yang penting ialah adanya nilai-nilai integriti yang menjadi amalan dalam kehidupan sehari-hari yang merangkumi sifat jati diri dan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah, ikhlas, bertanggungjawab, adil, berdisiplin dan tidak mudah di-pengaruhi.

    Dengan adanya prestasi kualiti, keupayaan, kesanggupan, kebolehan serta ketekunan para belia yang sentiasa bergerak secara positif dan proaktif, sudah pasti membolehkan mereka membantu menjana perkembangan negara secara holistik.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah semasa Sambutan HBK ke-17 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, tahun lepas. – Gambar fail
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pemimpin Muda Belia kepada Yang Berhormat Awang Abdul Aziz semasa Sambutan HBK ke-17 lalu. – Gambar fail
    Para belia negara turut bergiat aktif dalam pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran. – Gambar fail
    Gambar fail bertarikh 19 November 2022 menunjukkan seorang anak tempatan yang meminati bidang keusahawanan sejak kecil lagi dan terinspirasi daripada pemerhatian perintis industri kedai gunting tempatan yang telah memulakan perniagaan kedai gunting terletak di luar kediamannya sejak tahun 2016.

    Gambar fail bertarikh 17 Disember 2022 menunjukkan salah satu koleksi Musim Bunga/Panas 2023 berjudul Reminiscence atau Ristaan dalam bahasa Melayu Brunei dengan mengangkat tema padian yang dihasilkan oleh Bilang, sebuah jenama fesyen milik dua orang anak tempatan semasa mengikuti Minggu Fesyen Antarabangsa Thai Silk ke-3 Disember lalu.
    Gambar fail bertarikh 22 Mei 2022 menunjukkan pembuatan tambak kubur sering dikaitkan dengan pekerjaan orang-orang tua kitani, namun seorang belia tanah air ternyata mencari kelainan apabila menjadikannya sebagai sumber pencariannya.
    Gambar fail bertarikh 23 Januari 2023 menunjukkan golongan belia terdiri daripada pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) ketika menjalankan aktiviti sukarelawan membersihkan penapis penyaman udara di Masjid Kampung Sungai Besar.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-17 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, tahun lepas, antaranya menekankan bahawa kalau hendak menempa kejayaan, para belia tetap dituntut untuk tidak mengabaikan akhlak yang mulia dan tidak meminggirkan ke tepi calak keBruneian, Melayu Islam Beraja (MIB).

    Baginda Sultan turut menyatakan keyakinan bahawa dengan mengekalkan calak keBruneian itulah wadah atau landasan strategi yang sangat sesuai lagi afdal dilalui oleh belia negara.

    “Jangan fikir, dengan wadah ini kita berundur ke belakang, tidak! Tetapi para belia kita masih sahaja tetap berpeluang untuk melakukan pelaburan berskala besar ke persada yang lebih tinggi malah mampu untuk mencetuskan perubahan-perubahan dalam usaha-usaha pemulihan dan perkembangan ekonomi,” tekan Baginda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menekankan bahawa para belia merupakan komponen kritikal dalam usaha pembangunan negara, selaku stakeholder yang dinamik. Acuan yang tepat amat diperlukan untuk menjadikan golongan belia lebih bersedia dalam memacu pembangunan negara.

    “Hari ini kita melihat transformasi belia sedang berlaku, dengan mereka perlu lebih berwawasan dan berani untuk meneroka bidang-bidang baharu, di antaranya bidang perekonomian, digital, inovasi sosial, agri-bisnes dan industri-kreatif,” antara titah Baginda.

    Merdeka bukan bermakna perjuangan berhenti

    Sehubungan itu, Media Permata, baru-baru ini berkesempatan menemu bual salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang sekali gus selaku penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia pada Sambutan HBK ke-17 tersebut, antaranya mengutarakan bahawa perjuangan sejarah kemerdekaan negara itu perlu menjadi pedoman hidup namun nilai integriti dalam semua aspek kehidupan mestilah sentiasa dipelihara dari semasa ke semasa.

    “Kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini yang tidak terkecuali golongan pewaris bangsa iaitu belia dan beliawanis tanah air perlu memiliki jati diri penuh kepatuhan terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang teguh tanpa kompromi dalam menjalankan pelbagai aspek kehidupan demi sama-sama memberi impak positif ke arah merealisasikan ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035.

    “Jika dahulu konsep merdeka itu lebih merujuk kepada negara bebas daripada cengkaman jajahan namun dalam aspek kita meniti selama 39 tahun pasca kemerdekaan negara kini, apa yang perlu kita sentiasa semat dalam jiwa dan raga di mana pun kita berada ialah kedaulatan falsafah negara, Melayu, Islam dan Beraja (MIB) itu sendiri,” ujar beliau.

    Yang Berhormat menambah bagaimana untuk sama-sama mendaulatkan MIB itu antaranya dengan memartabatkan penggunaan bahasa rasmi negara iaitu Bahasa Melayu dan sentiasa berpegang teguh dengan agama Islam yang sudah sekian alam menjadi agama dan pegangan rasmi negara ini menurut akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah dengan menghayati Mazhab Syafie sebagai cara hidup sepanjang hayat.

    “Bagi belia-belia atau generasi muda janganlah mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir luar yang bertentangan sehingga boleh memesongkan akidah dan menghakis nilai-nilai kemelayuan. Keyakinan dan kekuatan untuk sentiasa menentukan baik dan buruk sesuatu tindakan atau keputusan itu semestinya menjadi tanggungjawab kita semua lebih-lebih lagi dalam meniti peradaban arus kemodenan,” tekan Yang Berhormat.

    Tegas Yang Berhormat lagi, walau apa jua kejayaan dan pencapaian yang kita kecapi jika kita mengenepikan atau memiliki sikap endah tak endah dengan falsafah MIB itu, bagaimana mungkin kita mampu menggapai Wawasan Negara dengan sebaik-baiknya.

    Sahut cabaran menjayakan wawasan negara

    Selaku Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong, Yang Berhormat mengutarakan pandangan lanjut bahawa menerusi tiga matlamat Wawasan Negara berkenaan iaitu hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju menjelang 2035 dengan Rakyat yang Berpendidikan Tinggi, Berkemahiran dan Berjaya; Rakyat mempunyai Kualiti Kehidupan yang Tinggi; dan Ekonomi Negara yang Dinamik dan Berdaya tahan maka adalah satu perkara yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan secara menyeluruh untuk terus meningkatkan usaha dan strategi bersama bagi menggalakkan lebih ramai golongan belia memahami dan membincangkan mengenai Wawasan Brunei 2035.

    “Wawasan Negara 2035 hanya tinggal 12 tahun lagi, maka ini bukanlah lagi masa untuk golongan belia itu berasa takut untuk bangkit bersama atau belum bersiap sedia bahkan cetusan buah fikiran di mana apa jua cadangan, komen, ulasan dan pendapat yang bernas amat diperlukan sebagai kepentingan pendekatan Whole of Nation pada masa kini dan mendatang.

    “Biarlah segala tindak-tanduk yang kita lakukan itu seimbang. Iringilah usaha kita dalam mencapai Wawasan Negara 2035 dengan penuh integriti berteraskan falsafah MIB,” ucapnya penuh harapan.

    Di samping itu, Yang Berhormat yang turut menanai tanggungjawab sebagai pengerusi dan pemimpin Kumpulan IMPAK Pergerakan Belia Daerah Tutong turut mengungkapkan harapan agar para belia perlu sentiasa bergiat aktif dalam apa jua aktiviti kemasyarakatan demi sama-sama mampu membuka minda dan mencari jalan penyelesaian terhadap cabaran atau permasalahan kehidupan yang dihadapi seperti langkah untuk mengatasi isu pengangguran antaranya menjana kegiatan keusahawanan, dan menceburi industri kreatif.
    Oleh yang demikian, kita adalah anak-anak Brunei sejati yang memiliki MIB sebagai identiti kita dan pastinya setiap dari kita memiliki tanggungjawab tersendiri dalam menjayakan Wawasan Negara 2035.

    Teruslah berjuang para belia, selagi masih dikurniakan rezeki kesihatan, bangkitlah bersama demi mewujudkan kesejahteraan bangsa, agama dan tanah air di mana kita dilahirkan. Selamat menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-39.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...