Thursday, February 27, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inter mara ke separuh akhir Piala Itali

    MILAN, 26 FEB – Pemimpin Serie A, Inter Milan mengalahkan Lazio 2-0 dalam saingan Piala Itali semalam, menempah pertemuan separuh akhir yang dinanti-nantikan dengan seteru tempatan AC Milan pada bulan April.

    Pada malam berkabus di San Siro, penyerang veteran Inter, Marko Arnautovic, meledak gol menarik melalui voli padu untuk membuka jaringan dari sepakan sudut yang separuh kosong pada minit ke-39, menamatkan separuh masa pertama yang ketat.

    Pemain pakar sepakan percuma Hakan Calhanoglu kemudian menambah gol kedua untuk Inter dengan sepakan penalti pada minit ke-77, mengelirukan penjaga gol Christos Mandas untuk menjadikan kedudukan 2-0.

    Inter, di bawah kendalian Simone Inzaghi, turut mendahului Serie A pada hujung minggu lalu dan akan bertandang ke Napoli yang berada di tempat kedua Sabtu ini.

    Juventus, juara bertahan Piala Itali, akan menentang Empoli hari ini untuk menentukan pasukan yang akan bertemu Bologna dalam separuh akhir dalam format tempat sendiri dan tempat lawan pada 2 dan 23 April.

    Minggu lalu, Joao Felix membantu AC Milan mara ke separuh akhir melalui gol pertamanya untuk juara Eropah tujuh kali itu dalam kemenangan 3-1 ke atas Roma.

    Sementara itu, Santiago Castro membantu Bologna ke separuh akhir dengan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 di Atalanta pada Selasa lalu. – AFP

    Aksi Marko Arnautovic menjaringkan gol pembukaan pasukannya semasa perlawanan suku akhir Piala Itali antara Inter Milan dan Lazio di Stadium San Siro, Milan, Itali, pada 25 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda