Sunday, April 14, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Ipoh diiktiraf rangkaian bandar kreatif UNESCO dalam bidang muzik

    IPOH, 1 NOV – Ipoh kini menyertai senarai dalam Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik.

    Menurut kenyataan UNESCO dalam laman web rasminya, ibu negeri Perak itu kini diiktiraf sebagai satu daripada 55 bandar baharu yang menyertai UCCN bersempena dengan Hari Bandar Sedunia pada Selasa.

    Menerusi pertambahan baharu itu, rangkaian berkenaan kini mempunyai 350 bandar di lebih 100 negara yang mewakili tujuh bidang kreatif iaitu Kraf dan Seni Rakyat, Reka Bentuk, Filem, Gastronomi, Sastera, Seni Media dan Muzik.

    “Bandar baharu ini diiktiraf atas komitmen teguh untuk memanfaatkan budaya dan kreativiti sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan dan memaparkan amalan inovatif dalam perancangan bandar berpusatkan rakyat,” menurut kenyataan itu.

    UNESCO memaklumkan bandar-bandar baharu itu akan bekerjasama dengan ahli rangkaian untuk mengukuhkan daya tahan dalam menghadapi ancaman seperti perubahan iklim, peningkatan ketidaksamaan serta perbandaran pesat, dengan 68 peratus daripada populasi dunia diunjurkan tinggal di kawasan bandar menjelang 2050.

    Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay dalam kenyataan sama berkata bandar-bandar dalam Rangkaian Bandar Kreatif mendahului dalam mempertingkatkan akses kepada budaya dan merangsang kuasa kreativiti untuk daya tahan dan pembangunan bandar.

    Bandar kreatif baharu dijemput menyertai Persidangan Tahunan UCCN 2024 di Braga, Portugal dari 1 hingga 5 Julai yang membawakan tema Bringing Youth to the table for the next decade.

    Sebanyak 16 bandar di dunia antaranya Mexicali, Caracas dan Banja Luka diiktiraf bagi kategori muzik termasuk Ipoh. – Bernama

    GAMBAR FREEPIK
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir terburuk landa di Kazakhstan

    POKROVKA, 12 APRIL - Salji dan ais yang mencair dengan pantas telah menyebablan sungai-sungai di utara Kazakhstan dan sempadan di Rusia mencatatkan paras yang,...