Tuesday, October 4, 2022
26.2 C
Brunei

IPT perlu teroka kelayakan mikro

-

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) bertitah menekankan bahawa mungkin sudah masanya institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini meneroka kelayakan mikro ataupun micro credentials.

Micro credentials kini telah mengubah landskap pendidikan, akibat pendigitalan sektor pendidikan tinggi dan transformasi digital dalam kala-ngan industri,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen UBD ke-33, yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, kelmarin.

Baginda menekankan lagi micro credentials menawarkan bentuk pembelajaran yang sangat fleksibel dan inklusif yang membolehkan kemahiran dan kecekapan diperolehi yang sangat sesuai dalam keadaan negara sedang memerlukan pekerja dan pencari kerja yang mahir serta berdaya saing.

“Tidak diragukan lagi, penyelidikan dan inovasi adalah pemangkin utama ekonomi digital,” tekan Baginda.

Terdahulu, Baginda bertitah mengambil maklum dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing juga kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan juga sokongan mereka, di sepanjang tempoh pengajian para graduan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokeysen UBD ke-33.

‘’Walaupun dunia masih bergelut dengan pandemik koronavirus, namun Alhamdulillah, situasi pandemik di Negara Brunei Darussalam adalah terkawal, sehingga membolehkan aktiviti-aktiviti seperti majlis konvokesyen pada hari ini dapat dijalankan,’’ titah Baginda lagi.

Menyebut mengenai strategi, Baginda dalam titahnya juga difahamkan, bahawa UBD telah pun sampai keputaran pelan strategik lima tahunnya, pada hujung tahun 2020.

Antara pencapaian signifikan dalam pelan strategik tersebut, jelas Baginda, ialah kemasukan UBD buat julung kalinya ke dalam dua World University Rankings yang terkemuka, iaitu QS dan Times Higher Education. Selain dari itu, titah Baginda, UBD juga telah memperkembangkan kampus berupa kampus luar negara pertama di Da Nang, Vietnam.

‘’Beta juga difahamkan, bahawa UBD telah memulakan inisiatif-inisiatif pelan strategiknya dari 2021 ke 2025, dengan visi National Relevance, global Impact.

“Sehubungan itu, Beta mengharapkan supaya UBD lebih memfokuskan kepada keperluan nasional yang berimpak tinggi, seperti teknologi digital dan kesejahteraan sosial dengan tumpuan pelbagai penyelidikan dan input akademik sejajar dengan keadaan semasa demi kepentingan kesihatan dan perubatan, pendidikan, alam sekitar dan pembangunan lestari serta sosioekonomi negara.

“Mengenai sosioekonomi negara, adalah sangat diperlukan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan. Oleh itu, Beta gembira, bahawa UBD akan terus memperkembangkan serta menekankan lagi pembelajaran sepanjang hayat, sebagai inisiatif meningkatkan kemahiran dan kecekapan masyarakat, terutama dalam konteks ekonomi global dan teknologi yang pesat berkembang,” titah Baginda.

Mengenai pencapaian inovasi, Baginda turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UBD atas penganugerahan Clarivate South dan South East Asia Innovation Award 2020 dalam Kategori Institusi Pendidikan.

Selain itu, Baginda juga maklum bahawa anugerah tersebut adalah berdasarkan invention atau penemuan, jumlah dan kejayaan paten serta tahap globalisasi berdasarkan pelaburan paten.

“Beta juga difahamkan bahawa UBD adalah antara enam universiti di rantau ini yang mendapat anugerah sebagai innovator teratas tersebut,” titah baginda lagi.

Dalam hal itu, Baginda memberikan keyakinan bahawa jika aspek pengajaran dan penyelidikan dimantapkan, maka UBD boleh akan lebih melonjak selaku sebuah universiti ternama di dunia.

“Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan dan juga semua warga UBD atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka dan sekali gus menyeru semua graduan agar terus gigih berdikari dan berdaya tahan serta pandai menyesuaikan diri untuk sentiasa relevan, bahkan tetap mengekalkan integriti berdasarkan ajaran Islam supaya sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah SWT,” nasihat Baginda.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -