Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Dalam era Revolusi Industri (IR 4.0), infrastruktur dan kebergunaan digital merupakan perkara asas yang membolehkan bandar untuk menggunakan teknologi dengan efisien.
Oleh itu, Kementerian Pembangunan telah menjadikan salah satu keutamaannya untuk memulakan Pengurusan Infrastruktur SMART di mana dengan penggunaan sensor pintar, kesan bencana boleh dikurangkan dengan pemantauan masa nyata dan pengesanan awal.
Perkara itu antara yang ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, semasa seminar sesi petang yang bertajuk Thematic Segment – Building Sustainable and Resilient Future, Together, hari ini.
Beliau seterusnya menambah, pihak agensi boleh menerima makluman masa nyata dan mengeluarkan pesanan kerja secara automatik untuk mempercepatkan penyelesaian sebarang masalah dengan aset infrastruktur kritikal.
Dengan pengesanan awal, tindakan pembetulan boleh diambil sebelum masalah timbul dan pada sebahagian kecil,contohnya, membina semula jambatan yang runtuh.
Lebih penting lagi, ujarnya, semua projek SMART ini akan memberikan kualiti hidup yang tinggi untuk rakyat seperti kurangnya gangguan air, bencana banjir, tiada kejadian jambatan runtuh yang boleh menyebabkan kesulitan, serta mengurus sumber secara mampan.
Pada sesi sebelah petang itu, tiga kertas kerja telah dibentangkan yang antara lain membincangkan mengenai inisiatif yang telah dan sedang diusahakan, termasuk penyediaan infrastruktur dan perkembangan teknologi maklumat dan sistem dalam mendukung bandar pintar.
Terdahulu, pada acara sebelah pagi, sesi pembentangan telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.
Semasa seminar tersebut, empat kertas kerja dibentangkan pada sesi sebelah pagi yang memfokuskan perbincangan mengenai konsep Maqasid As-Shariah dalam kemajuan, strategi, inisiatif dan amalan terbaik di luar negara dalam pemajuan ke arah persekitaran mampan dan berdaya tahan.
Seminar yang diadakan selama dua hari dan berakhir hari ini diadakan bersempena Sambutan Jubli Emas Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).