Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Iran adakan perarakan jenazah Raisi di Tabriz

    TABRIZ, 21 MEI – Perarakan jenazah Presiden Iran, Ebrahim Raisi akan diadakan di bandar barat laut Tabriz hari ini sebelum jenazahnya dibawa ke Tehran, lapor agensi berita Republik Islam (IRNA).

    Pengarah Pejabat Organisasi Penyebaran Islam Iran di Tabriz, Hojjatoleslam Mahmoud Hosseini, berkata jenazah Raisi dan mangsa-mangsa lain nahas helikopter itu disimpan di tanah perkuburan Tabriz, malam kelmarin.

    Hosseini memberitahu wartawan IRNA kelmarin bahawa perarakan jenazah akan diadakan hari ini dan penduduk Tabriz akan mengucapkan selamat tinggal kepada presiden dan membawa jenazahnya ke Lapangan Terbang Tabriz.

    Beliau berkata bahawa Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei akan menunaikan solat jenazah untuk presiden esok dan jenazahnya akan dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad sehari kemudian.

    Satu majlis sedang berlangsung di pusat bandar Tehran di mana orang ramai sedang bersedih dan berkabung atas kematian Raisi.

    Presiden Raisi dalam penerbangan pulang dari satu majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan pada Ahad lalu apabila helikopter dinaikinya terhempas di Varzaqan, barat laut Iran.

    Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai kanan wilayah turut berada dalam helikopter yang sama dan kesemuanya terkorban. – Bernama

    Rakyat Iran berkumpul di Dataran Valiasr di tengah Tehran untuk meratapi kematian Presiden Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Negeri Hossein Amir-Abdollahian dalam nahas helikopter. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...