Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Thailand rai kepulangan patung dari Muzium Seni New York

    BANGKOK, 21 MEI – Thailand hari ini meraikan kepulangan sebuah patung berusia 900 tahun yang berada selama tiga dekad di Muzium Seni Metropolitan New York dalam upacara rasmi penghantaran pulang ke Bangkok selepas patung berkenaan diseludup keluar dari negara berkenaan kira-kira 30 tahun lalu.

    Patung dewa Hindu Shiva, setinggi 129 sentimeter, yang digelar Golden Boy, telah dihantar pulang selepas dikaitkan dengan peniaga seni British-Thailand, Douglas Latchford, yang didakwa memperdagangkan peninggalan rompakan dari Kemboja dan Thailand sejurus sebelum beliau meninggal dunia pada 2020.

    Patung Golden Boy yang dipamerkan di muzium di New York dari 1988 hingga 2023 itu, ditemui berhampiran sempadan Kemboja ketika aktiviti penggalian arkeologi di runtuhan Prasat Ban Yang lebih 50 tahun lalu.

    Ia dipercayai telah diseludup keluar dari Thailand oleh Latchford pada tahun 1975.

    Muzium Seni Metropolitan turut memulangkan arca gangsa berukuran 43sm kedua bagi figura wanita berlutut dengan tangan di atas kepala dalam postur ucapan Thailand selepas ia turut dikaitkan dengan Latchford.

    Patung berusia 900 tahun yang diseludup keluar dari Thailand dialu-alukan kembali ke kerajaan itu dalam upacara penghantaran pulang rasmi di Bangkok. – AFP

    Pemulangan artifak berkenaan adalah susulan semakin banyak muzium di seluruh dunia membincangkan langkah-langkah untuk menghantar pulang karya seni yang diambil dari negara asal.

    “Kami berbesar hati untuk mendapatkan semula artifak ini, ia akan ditempatkan di tanah air mereka secara kekal.

    “Bagaimanapun, usaha memulangkan artifak yang dirompak tidak berakhir di sini. Kami berhasrat untuk mendapatkan semua artifak berkenaan semula,” kata Ketua Pengarah Jabatan Seni Halus Thailand, Phnombootra Chandrachoti pada majlis penghantaran pulang di Muzium Negara, Bangkok.

    Kedua-dua artifak berkenaan adalah artifak bahagian 14 yang akan dikembalikan ke Kemboja dan Thailand oleh Muzium Seni Metropolitan New York.

    Menurut muzium berkenaan, pihaknya akan kembalikan semula semua karya arca Angkor yang mempunyai kaitan dengan Latchford. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...