TEHRAN, 28 JAN – Iran menjadi pasukan pertama dari Asia yang layak ke Piala Dunia 2022 kelmarin setelah mencatat kemenangan 1-0 ke atas Iraq, sementara Jepun dan Korea Selatan juga semakin hampir untuk ke Qatar.
Penyerang Porto, Mehdi Taremi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-48 di Tehran untuk membawa pasukannya mara ke Piala Dunia buat kali keenam, dan tiga kali berturut-turut.
Iran mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan A dengan mengutip 19 mata daripada tujuh perlawanan, dua mata mendahului Korea Selatan yang semakin hampir untuk layak selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Lubnan di Sidon.
Emiriah Arab Bersatu berada di tangga ketiga, lapan mata mengejar Korea Selatan, yang tanpa bintang Spurs Son Heung-min kerana kecederaan, setelah kemenangan 2-0 ke atas Syria.
Sementara itu, dalam Kumpulan B, Jepun semakin hampir beraksi di Doha dengan menundukkan China 2-0, dan berada di kedudukan kedua, dua mata di belakang Arab Saudi.

Manakala Australia menghuni tempat ketiga, satu mata di mengejar Jepun, untuk kekal memburu kedudukan kelayakan automatik dengan kemenangan selesa 4-0 di laman sendiri menentang Vietnam di Melbourne.
Hanya dua pasukan teratas yang dijamin tempat di Piala Dunia yang bakal bermula di Qatar pada November.
Keraian dan bunga api dinyalakan di Tehran selepas wisel penamat dibunyikan dengan sorakan gemuruh daripada peminat apabila penonton wanita dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak buat kali pertama sejak Oktober 2019.
“Saya sangat gembira. Ini adalah kali pertama saya menghadiri perlawanan di Stadium Azadi,” kata Mahya, seorang jurutera berusia 26 tahun, sambil membawa bendera kebangsaan Iran. – AFP