Friday, October 25, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB BGIC: Pendidikan berkualiti bantu tingkat ekonomi global

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Dengan menumpukan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) ke-4 iaitu Pendidikan Berkualiti, Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) ke-20 menyaksikan penglibatan seramai kira-kira 230 orang delegasi dari 23 buah sekolah iaitu 21 buah sekolah dari Negara Brunei Darussalam dan dua buah sekolah dari luar negara.

    Persidangan yang dihoskan oleh ISB dengan rakan kongsi persidangan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Pendidikan, persidangan berkenaan berlangsung dari hari ini hingga 27 Oktober.

    Sehubungan dengan itu, ISB telah memperkenalkan penyampai ucaptama bagi persidangan berkenaan iaitu Hon Dr Stuart Lawrence dan Linda Cruise dalam sidang media yang berlangsung di Kampus ISB, Kampung Sungai Hanching, hari ini.

    Hon Dr Stuart Lawrence merupakan seorang penceramah motivasi dan awam serta adik kepada Stephen Lawrence, ialah seorang penulis, guru dan konsultan dengan satu matlamat iaitu untuk menyampaikan kepada golongan muda dan dewasa, kemahiran serta pemikiran untuk mencapai potensi mereka, tanpa mengira latar belakang dan seterusnya menjadi suara perubahan bagi masyarakat mereka.

    Sementara itu, Linda Cruise adalah pengasas Race4Good dan merupakan seorang petugas bantuan kemanusiaan, penulis dan penceramah yang komited untuk membantu komuniti yang terjejas oleh bencana di seluruh dunia. Beliau dikenali dengan kaedah bantuan bencana yang inventif di mana beliau mengutamakan pemerkasaan warga tempatan bagi pembangunan semula yang mampan.

    Para panel yang menyertai sidang media bagi ISB BGIC Ke-20 yang berlangsung di Kampus ISB, kelmarin. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL

    Menerusi penulisan dan ceramahnya, beliau menyampaikan pengalamannya untuk memberikan motivasi kepada mereka menuju ke arah tindakan yang memberikan impak.

    Sidang itu juga mengetengahkan dua wakil penaja iaitu Ketua Pengurusan Hubungan Strategik di Bank Islam Brunei Darussalam, Dayangku Rodzi binti Pengiran Abdul Rahman dan Pengurus HSE di Brunei LNG Sdn Bhd, Awang Amir Hamzah bin POKPSDP Haji Abdul Rahman di mana mereka memberikan penerangan bagi mewakili syarikat masing-masing.

    Turut hadir selaku ahli panel dalam sidang berkenaan ialah Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley dan setiausaha-setiausaha agung ISB BGIC, Francisca Vega, Zara Jeffri dan Emilka Lim.

    Sidang media berkenaan juga menyaksikan kehadiran Pengurus Besar ISB, Vienna Law; Timbalan Ketua Menengah ISB, Ai Ling Wong; Penganjur ISB BGIC, David Glantz dan Rowena Miles, Pengerusi Jawatankuasa ISB BGIC dan kakitangan ISB.

    Mengulas mengenai dengan tema ISB BGIC, Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti: Bagaimana kita boleh memastikan bahawa pendidikan saksama dan inklusif menyokong pembangunan mampan?, Dominic Morley berkata, di ISB mereka amat percaya dalam melabur dalam modal insan serta pendidikan berkualiti untuk meningkatkan produktiviti, kemakmuran dan kualiti kehidupan untuk semua ahli masyarakat tempatan dan global.

    Oleh itu, tambahnya, mereka telah menganjurkan ISB BGIC pada skala yang besar sejak diperkenalkan dua dekad yang lalu dengan matlamat utama untuk memberikan manfaat kepada belia, masyarakat dan komuniti kita.

    Beliau menyatakan perasaan gembira bahawa tema persidangan pada tahun ini mengetengahkan pentingnya pendidikan berkualiti untuk meningkatkan ekonomi global, memastikan pembangunan mampan dan memperkasa belia untuk menyokong SDG serta melindungi masa depan planet kita.

    Berikutan dengan sidang media berkenaan, ISB BGIC ke-20 akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas bermula esok hingga 27 Oktober yang didahului dengan majlis pembukaan sebelum diikuti dengan sesi pembentangan ucaptama, perbincangan jawatankuasa dan perhimpunan agung.

    Para delegasi telah berusaha dengan penuh tekun untuk menyelidik topik masing-masing dan menyiapkan ucapan bagi persidangan itu. Para delegasi akan berbahas dan memutuskan resolusi berkaitan dengan pendidikan berkualiti dengan topik-topik yang menangani halangan kepada pendidikan berkualiti, akses yang adil dan saksama kepada pendidikan, kesedaran alam sekitar dan amalan hijau serta pengintegrasian literasi digital ke dalam kurikulum sekolah.

    ISB BGIC merupakan persidangan tahunan yang diterajui oleh pelajar yang berbentuk model Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di mana para peserta mewakili negara-negara untuk membentangkan pelbagai pandang mengenai isu-isu semasa dunia sebenar.

    Inisiatif itu bermatlamat untuk membangunkan kefahaman warga global para pelajar dan kemahiran kritikal dalam penyelidikan, pertuturan awam dan rundingan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda