Monday, December 16, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Isi bulan Ramadan dengan majlis tadarus

    Oleh Yusrin Junaidi dan Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Sempena bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, pelbagai pihak telah mengadakan majlis-majlis tadarus yang berlangsung di seluruh negara.

    Di Daerah Brunei dan Muara, Datastream Digital (DST) Sdn Bhd kelmarin telah mengadakan Majlis Pembukaan Tadarus sempena bulan Ramadan di Masjid Universiti Brunei Darussalam.

    Aktiviti keagamaan tahunan syarikat tersebut telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni. Turut hadir ialah pengurusan kanan DST dan kakitangan kumpulan syarikat.

    Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Al-Quran secara beramai-ramai yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Al-Huffaz Management, Haji Mohd Loqman Al Halim bin Haji Hamdan.

    Sementara itu, di Daerah Tutong, rombongan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) semalam telah mengadakan Majlis Tadarus di Masjid Kampung Bang Dalam.

    Radin Sufri bersama pengurusan kanan DST, dan kakitangan kumpulan syarikat semasa majlis berkenaan.
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan ialah Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim.
    Haji Amirol Hafidzin dan Awang Mohamad Aliyani bersama ahli-ahli rombongan yang lain ketika majlis berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan tadabbur Al-Quran oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustafa.

    Acara diteruskan dengan tadarus Al-Quran, diikuti dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah dan kemudiannya bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Rombongan tadarus pegawai dan kakitangan KHEU seterusnya akan mengunjungi Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Daerah Temburong pada esok hari, jam 5 petang.

    Manakala, di Daerah Belait, Jabatan Daerah Belait dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait telah menganjurkan majlis tadarus bagi Rombongan Tadarus Jabatan-jabatan Kerajaan Daerah Belait, kelmarin.

    Majlis yang diadakan di Masjid Zainab, Lumut itu diketuai oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail.

    Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dipimpin oleh ketua rombongan yang diikuti dengan tadarus Al-Quran dan seterusnya bacaan tahlil dan Doa Arwah.

    Rombongan juga bersungkai bersama-sama para jemputan, ahli jawatankuasa takmir dan para jemaah masjid dan kemudiannya menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Awang Mohd Didi Normady bin Haji Awang Ahmad.

    Antara lain tujuan majlis itu diadakan adalah sebagai salah satu syiar untuk memakmurkan masjid di samping mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan dengan jemaah masjid dan penduduk kampung dan juga bagi sama-sama meningkatkan amal ibadat pada bulan Ramadan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda