Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel lancar serangan di Syria

    DAMSYIK, 2 JULAI – Israel melakukan serangan udara di Syria berhampiran bandar Homs yang dikuasai kerajaan, lapor media kerajaan Syria hari ini, dan tentera Israel berkata kemudian ia bertindak balas terhadap tembakan roket.

    Selama lebih sedekad perang di Syria, Israel telah melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria, terutamanya menyasarkan tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah serta kedudukan tentera Syria.

    “Israel melakukan serangan udara yang datang dari timur laut Beirut, menyasarkan beberapa kawasan di sekitar bandar Homs,” kira-kira 20 kilometer dari Lubnan, kata agensi berita kerajaan Syria SANA, memetik sumber tentera.

    Dalam satu kenyataan beberapa jam kemudian pada pagi ini, tentera Israel mengesahkan ia telah melancarkan serangan. Ia berkata mereka menyasarkan ‘bateri anti-pesawat di Syria, sebagai tindak balas kepada pelancaran roket anti-pesawat dari Syria ke wilayah Israel’.

    Ia menambah jet Israel juga telah ‘menye-rang sasaran tambahan di kawasan itu’, dan roket anti-pesawat Syria telah ‘meletup di udara’ namun tiada kecederaan dilaporkan.
    SANA telah melaporkan bahawa pertahanan udara Syria memintas beberapa peluru berpandu, dan terdapat beberapa kerugian ‘material’.

    Pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights berkata kawasan yang menjadi sasaran di kawasan luar bandar timur laut Homs adalah kubu kuat Hizbullah yang menempatkan depot senjata milik kumpulan yang disokong Iran. – AFP

    Pihak berkuasa Israel memeriksa serpihan roket antipesawat udara Syria yang meletup di udara di bandar Rahat, Israel kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda