BERLIN, 13 JULAI – Istana Neuschwanstein di Bavaria, Jerman, yang terkenal sebagai inspirasi kepada istana dalam kisah dongeng Walt Disney — secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), menurut pengumuman, kelmarin.
Selain Neuschwanstein, tiga lagi kediaman diraja yang dibina pada akhir abad ke-19 oleh Raja Ludwig II yang terkenal dengan minat mendalam terhadap seni, turut dimasukkan ke dalam senarai berprestij itu. Tapak-tapak berkenaan ialah Herrenchiemsee, Linderhof dan Schachen.
Neuschwanstein yang terletak pada ketinggian 200 meter di puncak batuan Alps merupakan istana paling banyak dilawati di Jerman, menerima hampir 1.5 juta pengunjung setiap tahun.
“Sebuah kisah dongeng menjadi nyata untuk istana dongeng kami: Kami kini Warisan Dunia!” kata Gabenor Bavaria, Markus Soeder dalam catatan di laman sosial X sejurus pengumuman dibuat.
Istana tersebut menggabungkan rekaan luaran gaya zaman pertengahan yang ideal dengan teknik seni bina moden pada era tersebut.

Bahagian dalamannya dihiasi dengan lukisan-lukisan yang menggambarkan legenda Jerman dan Nordic — kisah-kisah yang turut menjadi inspirasi kepada komposer terkenal, Richard Wagner, yang juga menerima tajaan daripada Raja Ludwig.
Peter Seibert daripada Pentadbiran Istana Bavaria (BSV) memberitahu AFP bahawa pengiktirafan UNESCO itu merupakan satu tanggungjawab besar serta penghargaan terhadap usaha pemeliharaan yang telah dijalankan selama ini.
Istana Herrenchiemsee pula digambarkan sebagai ‘Versailles mini’ yang terletak di sebuah tasik antara Munich dan Salzburg, dibina sebagai penghormatan kepada Raja Louis XIV dari Perancis yang begitu dikagumi oleh Raja Ludwig.
Malah, Ludwig pernah menamakan Herrenchiemsee sebagai ‘Meicost-Ettal’, satu anagram kepada frasa terkenal Louis XIV, ‘L’Etat, c’est moi’ atau ‘Akulah negara’.
Satu lagi lokasi yang turut dimasukkan dalam senarai UNESCO ialah Istana Linderhof, sebuah kediaman kecil yang siap dibina pada tahun 1878 — satu-satunya istana yang disiapkan semasa hayat Raja Ludwig. – AFP