Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Isteri curang, suami dikhianati

    Kepada sidang pengarang dan para pembaca setia ruangan curhat ini, aku sebenarnya tidak pernah menyangka bahawa hidupku akan berubah seperti ini.

    Dulu aku pernah bahagia bersama isteriku, kini aku harus menerima kenyataan pahit bahawa dia telah meninggalkanku untuk bersama jejaka lain. Kini aku berasa seolah-olah dikhianati, ditinggalkan dan tidak dihargai.

    Sudah lima tahun sejak kejadian itu, tapi aku masih belum dapat melupakannya. Aku masih menyimpan foto-foto kami di dompetku. Bukan setakat itu saja, aku bahkan masih memakai cincin perkahwinan kami yang dia berikan, aku masih merindukan suara dan senyumannya. Aku tidak tahu bagaimana cara melanjutkan hidup tanpanya.

    Setiap hari aku cuba untuk bangkit, bekerja dan bersosial, tapi semua itu sia-sia. Aku tidak mempunyai rakan yang dapat memahami perasaanku, apatah keluargaku yang tidak menyokongku atau memberikan sepatah dua kata motivasi untuk membangkitkan semangatku demi meneruskan kehidupan yang fana ini. Aku kini bahkan tidak mempunyai hobi yang dapat menghibur dan merawat jiwaku yang tersakiti. Aku hanya mampu bergantung pada kuasa Yang Maha Esa dan selalu meratapi nasibku dalam setiap sujudku di hujung sejadah.

    Aku benci diriku sendiri, yang tidak dapat melindungi isteriku dan tidak mampu membuatnya bahagia, yang akhirnya diri ini sudah tidak mampu menghalangnya untuk curang. Terkadang terdetik juga rasa benci dalam hati ini terhadap isteriku, yang telah menghancurkan hatiku, yang telah menghianati janjinya, mengetepikanku begitu saja. Aku benci dunia, yang telah memisahkan kami, yang telah memberi kami bermacam-macam cubaan dan rintangan, yang telah membuat kami menderita.

    Gambar Freepik

    Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku tidak tahu apa yang dapat aku harapkan, bahkan apa yang aku impikan. Aku hanya tahu bahawa aku sangat merindukan isteriku, yang telah pergi selamanya.

    Suami tersakiti

    NASIHAT DANG MP

    Saya turut bersedih mendengar kisah awda. Saya mengerti bahawa awda sangat mencintai isteri awda dan berasa sedih atas kehilangannya. Saya juga menghormati perasaan awda yang marah, sedih dan putus asa.

    Namun, saya ingin memberikan beberapa nasihat yang mungkin sedikit sebanyak dapat membantu awda untuk bangkit daripada kesedihan.

    Pertama, awda harus memaafkan diri sendiri. Awda tidak perlu menyalahkan diri atas apa yang terjadi. Awda tidak dapat mengendalikan pilihan isteri awda untuk selingkuh dan meninggalkan awda. Apa yang penting adalah awda sudah berusaha menjadi suami yang baik dan setia.

    Awda harus melepaskan isteri awda secara ikhlas. Hal ini kerana awda tidak akan dapat terus hidup jika kekal dengan kenangan kehidupan di masa lalu dan meratapi kehilangannya. Terimalah takdir bahawa isteri awda sudah tidak ada lagi di hidup awda dan tidak akan kembali serta bukalah hati awda untuk hal-hal baharu yang dapat menjamin kebahagiaan diri.

    Cari sokongan daripada lingkungan awda serta orang-orang yang peduli dengan awda.

    Jangan terus mengasingkan diri awda dari dunia dan merasa sendirian. Teruskan hubungan dengan keluarga, rakan, atau orang-orang yang dapat memberikan awda kasih sayang, pengertian dan bantuan.

    Cari hobi atau aktiviti yang dapat mengisi waktu dan pikiran awda. Jangan hanya menghabiskan waktu awda dengan bersedih dan memikirkan isteri awda. Cubalah hal-hal baharu yang mencabar dan mengembangkan potensi diri awda. Awda harus memiliki tujuan dan impian untuk dicapai.

    Saya tahu mungkin awda tidak dapat berubah dalam sekejap. Tapi saya percaya bahawa awda dapat melakukannya, dengan usaha dan doa yang berterusan. Saya percaya bahawa awda akan menemukan kebahagiaan dan cinta lagi, jika awda mahu membuka hati dan fikiran.

    Saya berharap awda akan bangkit daripada kesedihan dan teruslah jalani hidup awda dengan lebih baik. Semoga awda menemukan kedamaian dan kebahagiaan hidup.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...