Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja bagi Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, petang tadi.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Terdahulu, Istiadat Akad Nikah Diraja bermula dengan ketibaan YAM Pengiran Muda Bahar berangkat tiba di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dengan dikepalai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dan diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem dengan didahului oleh 12 Sinipit serta diikuti oleh alat-alat Kebesaran Diraja yang dibawa oleh Awang-Awang terdiri daripada enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok dan Panastan.
YAM Pengiran Muda Bahar seterusnya dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, menuju ke bilik khas.
Setelah itu, YAM Pengiran Muda Bahar dengan diapit oleh YAM Pengiran Muda Abdul Hakeem keluar dari bilik khas dan berangkat untuk duduk di atas Kasur Namat dengan menghala ke tempat persemayaman Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Majlis diikuti dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja masuk ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah siap sedia.
Yang Amat Mulia seterusnya menyembahkan perkara tersebut kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Baginda Sultan kemudiannya menitahkan supaya Istiadat Akad Nikah Diraja dimulakan.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim seterusnya mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama dua orang Awang-Awang yang membawa tempat menandatangani borang nikah dan gangsa tempat menyimpan alat tulis dan seterusnya duduk di tempat yang ditentukan.
Setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah, Yang Berhormat Pehin menyembahkan borang nikah kehadapan majlis Baginda Sultan untuk ditandatangani.
Yang Berhormat Pehin kemudiannya balik ke tempat duduk-nya bagi memulakan Istiadat
Akad Nikah Diraja.
YAM Pengiran Muda Bahar tunduk memberi hormat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia lalu mengitar duduknya menghadapi Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.
Yang Berhormat Pehin kemudian memimpin bacaan Surah Al-Fatihah disusuli dengan bacaan Khutbah Nikah seterusnya Istiadat Akad Nikah Diraja bagi YAM Pengiran Muda Bahar dengan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan maharnya $1,000 tunai.
Sebaik sahaja lafaz qabul daripada YAM Pengiran Muda Bahar disahkan oleh saksi, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan akad nikah diraja telah sempurna dilaksanakan kemudiannya YAM Pengiran Muda Bahar membaca lafaz taklik.
Yang Berhormat Pehin seterusnya memberikan borang nikah kepada YAM Pengiran Muda Bahar untuk ditandatangani.
Istiadat Akad Nikah Diraja diteruskan dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan seterusnya menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna dilaksanakan.
Selepas itu, Yang Amat Mulia menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bahawa istiadat telah sempurna dilaksanakan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menitahkan supaya majlis ditutup.
Berangkat dan hadir dalam majlis tersebut ialah pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli majlis-majlis mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, duta-duta, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dan setiausaha-setiausaha tetap serta para jemputan yang lain.