Istiadat Akad Nikah Diraja selamat disempurnakan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja bagi Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara. Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Terdahulu, Istiadat Akad Nikah Diraja bermula dengan ketibaan Awang Abdullah Mahmoud Al-Hashimi dengan diiringi oleh pengiring yang dikepalai oleh YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit dengan didahului oleh 12 Sinipit dan diiringi oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan, serta diikuti oleh alat-alat kebesaran diraja yang dibawa oleh Awang-Awang terdiri daripada enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok dan Panastan.

Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dialu-alukan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari KHEU dan seterusnya dipersilakan ke bilik khas.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja bagi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menandatangani borang nikah sambil disaksikan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berkenan berangkat ke Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, kelmarin.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ketika berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ke Istiadat Akad Nikah Diraja.
ATAS & BAWAH: YAM Pengiran Muda Abdul Qawi, YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah, YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min, YAM Pengiran Muda Omar Ali dan kerabat diraja yang turut hadir pada majlis tersebut.

Ketibaan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dengan diiringi oleh pengiring bagi Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim menyempurnakan Istiadat Akad Nikah Diraja bagi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.

Setelah itu, Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi diapit oleh pengiring untuk duduk di atas Kasur Namat dengan menghala ke tempat persemayaman Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis diikuti dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain masuk ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah siap sedia.

Yang Amat Mulia seterusnya menyembahkan perkara tersebut kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Baginda Sultan kemudiannya menitahkan supaya Istiadat Akad Nikah Diraja dimulakan.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim seterusnya me-ngadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama dua orang Awang-Awang yang membawa tempat menandatangani borang nikah dan gangsa tempat menyimpan alat tulis dan seterusnya duduk di tempat yang ditentukan.

Setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengurniakan titah, Yang Berhormat Pehin menyembahkan borang nikah kehadapan majlis Baginda Sultan untuk ditandatangani.

Yang Berhormat Pehin kemudiannya balik ke tempat duduknya bagi memu-lakan Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja.

Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi tunduk memberi hormat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia lalu mengitar duduknya menghadapi Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

Yang Berhormat Pehin kemudian mempimpin bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai disusuli dengan pembacaan Khutbah Nikah seterusnya Istiadat Akad Nikah Diraja bagi Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dengan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan maharnya $1,000 tunai.

Sebaik sahaja lafaz qabul daripada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi disahkan oleh saksi, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan akad nikah diraja telah sempurna dilaksanakan dan kemudiannya Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi membaca lafaz Taklik.

Yang Berhormat Pehin seterusnya memberikan borang nikah kepada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi untuk ditandatangani.

Istiadat Akad Nikah Diraja diteruskan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan kemudiannya menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna dilaksanakan.

Selepas itu, Yang Amat Mulia menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bahawa istiadat telah sempurna dilaksanakan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menitahkan supaya majlis ditutup.

Berangkat dan hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli majlis-majlis mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pedalaman, duta-duta, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, ahli-ahli majlis mesyuarat negara dan setiausaha-setiausaha tetap serta para jemputan yang lain.