Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Istiqamah dalam beribadat tersimpan banyak kelebihan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Ugama Islam menuntut umatnya sentiasa beristiqamah dalam beribadat dan amal kebajikan, orang yang beristiqamah dalam beribadat, beramal kebajikan, berakhlak mulia dalam mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya, dijanjikan dengan pelbagai ganjaran oleh Allah.

    Terdapat beberapa pengajaran yang terkandung daripada ayat Al-Quran berhubung dengan orang istiqamah dalam amalannya.

    Khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Istiqamah Mengerjakan dan Meningkatkan Amal Ibadat’, menjelaskan, seseorang yang istiqamah dalam beriman dan amal ibadatnya akan selalu didatangi oleh para malaikat dan ia merupakan satu keuntungan pada diri orang tersebut disebabkan kedatangan malaikat itu membawa rahmat kepadanya.

    Selain itu, seseorang yang istiqamah juga tidak mudah berasa takut, kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinan, kukuh pendirian, besar harapannya kepada Allah.

    Di samping itu, orang yang istiqamah juga tidak mudah berasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu kerana ia tahu semua itu adalah memang milik Allah dan orang istiqamah juga akan mendapat balasan syurga yang dijanjikan Allah.

    Khatib seterusnya menegaskan, apa yang diamalkan dan dikerjakan sepanjang bulan Ramadan yang lalu bersama ahli keluarga di rumah sama ada yang fardu mahupun yang sunat seperti mengerjakan sembahyang fardu berjemaah, sembahyang sunat, bertadarus, berzikir, berdoa, qiamullail, bersedekah dan sebagainya, hendaklah diteruskan dan diamalkan di bulan-bulan yang lain.

    “Ini adalah untuk menjadi pembakar semangat supaya kita terus berusaha mening-katkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah,” jelasnya.

    Katanya lagi, Ramadan yang baru sahaja berlalu telah mendidik kita untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa dan beriman dengan terus beristiqamah melakukan amal kebajikan di bulan lain dan bukan melakukan secara berkala atau bermusim.

    Beliau menjelaskan sifat istiqamah itu merupakan sifat terpuji dan dituntut oleh Allah serta ia termasuk sifat-sifat Islam.

    Penerapan sifat istiqamah dalam diri setiap orang Islam yang beriman itu, menandakan seseorang itu taat pada perintah Allah.

    Perlu diketahui, tambah khatib, istiqamah itu bermaksud kekal dan tetaplah, teguhkan diri dengan melakukan amalan-amalan ketaatan dan berhenti daripada melakukan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

    Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama mempertingkat sifat istiqamah iaitu istiqamah hati untuk terus berzikir, membaca Al-Quran dan lain-lain amalan serta istiqamah dalam menjaga lidah.

    “Memandangkan istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan, ditambah dengan ganjaran yang sangat banyak, beristiqamahlah dalam setiap amal ibadat dan amal kebajikan, mudah-mudahan dalam beristiqamah itu akan dapat membentuk diri menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...