Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Kementerian Pendidikan ada menyediakan garis panduan mengenai beban tugas guru untuk dilaksanakan oleh pihak sekolah melalui pemimpin-pemimpin sekolah.
Bagi guru yang melaksanakan tugas pentadbiran, mereka memang diberikan bebanan kerja sedikit ringan daripada guru-guru yang lain, iaitu mereka ini hanya mengajar 10 sehingga 16 period seminggu sahaja, bersamaan dengan lima ke lapan jam seminggu.
Selain daripada itu, kementerian juga ada melaksanakan inisiatif i-Note, bagi memastikan keramaian guru setiap sekolah dapat dimaksimumkan dengan beban kerja dan tugasan yang bersesuaian.
Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan akan meneruskan pengambilan guru-guru baharu dengan tenaga pengajar setiap tahun melalui program perantis jika masih ada calon-calon yang sudah berkelayakanmenjadi guru dengan mengikuti initial teacher preparation atau Master of Teaching.
Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh semasa mengulas isu kekurangan dan bebanan tugas guru yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohd Danial @ Tekpin bin Yaakub semasa permesyuaratan MMN di Dewan Majlis, hari ini.
Menyentuh mengenai keanggotaan Unit HSSE di Kementerian Pendidikan, beliau berkata, setakat ini terdapat 16 orang pegawai dan ini termasuk empat orang i-Ready yang bertugas di Bahagian HSSE di Pejabat Daerah Brunei dan Muara, sementara di unit
penghapusan terdapat seramai 16 orang pegawai dan kakitangan di keempat-empat daerah.
Maka dengan itu, pada masa ini bahagian dan unit berkenaan memang dibantu oleh wakil-wakil HSSE dan guru-guru yang ditugaskan bagi tugas penghapusan di setiap sekolah, dan bukan mereka sahaja yang memantau akan tetapi ada wakil-wakil yang terlibat di peringkat sekolah.
Oleh demikian, tambah beliau, pihak Kementerian Pendidikan belum ada perancangan menambah jumlah pegawai dan kakitangan di bahagian dan unit berkenaan.