Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Seramai 12 orang pakar akademik generasi baharu mewakili 10 buah negara Asia Tenggara telah menghadiri bengkel The Making of Southeast Asianists in Southeast Asia anjuran The Southeast Asian Studies Regional Exchange Program (SEASREP) Foundation, yang diadakan pada 10 dan 11 Disember lalu di Bangkok, Thailand.
Pakar akademik tempatan, Dr Najib Noorashid dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dijemput untuk membentangkan penulisan kritis beliau bertajuk Shifting Selves and Against the Current: Researching Malay Linguistics, Identities, and Nationalism in the Malay World, sekali gus berkongsi pengalaman beliau sebagai pengkaji bahasa dan sosiolinguistik Melayu di Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura, juga dikenali sebagai Alam Melayu.
Ketika dihubungi, Dr Najib Noorashid berkata beliau telah banyak belajar dan menimba pengalaman daripada SEASREP dan wakil-wakil akademik lain semasa bengkel itu, dan beliau seterusnya menggalakkan lebih banyak penyelidikan kritikal mengenai isu-isu mengenai bahasa, budaya, identiti dan nasionalisme Melayu sebagai sebahagian daripada kajian Asia Tenggara.
“Semasa bengkel itu, saya menyaksikan banyak laporan mengenai para pelajar Asia Tenggara yang menunjukkan minat untuk mempelajari Bahasa Melayu/Indonesia, selain bahasa-bahasa lain seperti Thai, Vietnam dan Inggeris.
“Ini menunjukkan potensi untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan secara kolaboratif berkaitan Bahasa Melayu dalam konteks transnasional di rantau ini. SEASREP membuka peluang kepada sarjana muda seperti saya untuk berbuat demikian,” ujarnya.


Dr Najib Noorashid juga menyatakan inspirasinya dan prospek dalam menjalankan penyelidikan mengenai Bahasa Melayu dalam konteks Asia Tenggara dengan merujuk kepada pakar-pakar akademik terdahulu di UBD.
“Penulisan ilmiah saya sentiasa memfokuskan terhadap potensi mengembangkan penggunaan dan penyelidikan Bahasa Melayu bukan sahaja di Brunei dan Alam Melayu, malah di luar Alam Melayu. Sebagai seorang sarjana muda, saya cukup bertuah kerana terus menerima nasihat daripada sarjana-sarjana terdahulu seperti Profesor Madya Dr Chang Yau Hoon dari Institut Pengajian Asia dan Profesor Madya Noor Azam Haji Othman dan Profesor Madya Dr James McLellan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD,” tambahnya.
SEASREP Foundation merupakan sebuah organisasi memfokuskan usaha mengembangkan kajian-kajian di rantau melalui pelbagai geran penyelidikan dan program pertukaran serta mengembangkan jaringan pakar-pakar akademik di Asia Tenggara.
Ketika bengkel dijalankan, 12 pakar akademik berkenan membincangkan pelbagai isu penyelidikan di Asia Tenggara termasuk isu metodologi penyelidikan, cabaran dan resolusi berkaitan bahasa, budaya, agama, masyarakat, jantina dan hak asasi manusia.

