Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Sehingga 2022, sebanyak 30,296 buah rumah teres telah dibina di bawah Skim Perumahan Negara (SPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) di 17 kawasan RPN dengan keluasan menyeluruh sebanyak 794 hektar sejak skim itu diperkenalkan pada 1984.
Skim berkenaan diurus dan diselenggara oleh Jabatan Kemajuan Perumahan di keempat-empat daerah di seluruh negara.
Melalui Rancangan Kemajuan Negara ke-11 (RKN 11), dua projek rancangan perumahan sedang dijalankan iaitu RPN Kampung Lugu Fasa 2 di mana 1,000 unit rumah teres sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Ogos 2023 serta RPN Kampung Tanah Jambu Fasa 7a di mana sebanyak 950 unit rumah teres yang mana pembinaannya akan bermula pada pertengahan 2023 dan dijangka siap pada Januari 2025.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ucapan alu-aluannya pada Sesi Muzakarah Kementerian Pembangunan bersama ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas, hari ini.
Beliau seterusnya berkata bahawa sebanyak 245 daripada 300 unit apartmen H40 Lambak Kanan telah diperuntukkan, manakala 55 unit selebihnya, akan diperuntukkan kepada pemohon-pemohon yang berkelayakan.
Di samping itu, 140 unit rumah teres di RPN Rimba dan 40 unit rumah teres di RPN Bukit Beruang juga sedang dalam proses untuk diperuntukkan kepada pemohon-pemohon yang berkelayakan.
Sebanyak 16 unit rumah transit di RPN Lambak Kanan, jelas Yang Berhormat Dato, telah di baik pulih dan empat unit telah didiami dengan selebihnya juga dihasratkan untuk diperuntukkan kepada pemohon-pemohon yang berkelayakan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa terdapat 591 unit rumah di RPN Panchor, Mengkubau yang kosong iaitu rosak di mana rumah-rumah berkenaan mempunyai masalah keretakan pada komponen struktur rumah seperti dinding, lantai, jubin, masalah kalis air, masalah kebocoran paip dan pendawaian elektrik serta juga masalah banjir.
“Sehingga kini, pihak jabatan telah menerima lebih dari 291 aduan termasuk tujuh aduan masalah banjir daripada pemilik rumah di RPN Panchor, Mengkubau,” tambahnya.
Dalam menangani masalah itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda berkata kementeriannya melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah memindahkan 62 pemilik yang rumah mereka telah mengalami kerosakan kepada rumah yang telah di baik pulih dan yang berkeadaan lebih baik di kawasan yang sama serta juga di rumah tumpang sementara di RPN Lambak Kanan.
Jabatan Kemajuan Perumahan, jelasnya lagi, telah membaik pulih rumah, infrastruktur termasuk jalan raya, membina semula longkang rosak, menaik taraf saliran dengan membina culvert dan sump baharu bagi mengurangkan masalah banjir serta membuat penyelenggaraan kawasan perumahan melalui kontrak berpenggal.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato seterusnya berkata dalam usaha bagi mengurangkan pergantungan sepenuhnya kepada kerajaan, Jabatan Kemajuan Perumahan sedang meneroka kaedah-kaedah alternatif yang bersesuaian termasuk meneroka pembiayaan alternatif melalui Public-Private Partnership atau sukuk, cadangan bagi Skim Pemaju Perumahan serta mengoptimumkan pengguna rumah kosong atau terbiar seperti perumahan BSP.
Sementara itu, menyentuh mengenai isu jalan raya, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa isu menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur jalan raya, ia dirancang mengikut keutamaan dengan memberikan keutamaan kepada pelaksanaan kerja-kerja yang bertahap kritikal dan memberikan manfaat secara keseluruhan.