Monday, November 25, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Itali hantar 8 migran ke Albania untuk proses saringan

    SHENGJIN, 8 NOV – Sebuah kapal tentera laut Itali berlabuh di pelabuhan Shengjin, Albania, hari ini, bersama lapan migran yang akan disaring di pusat pemprosesan di sana selepas mereka ditahan di perairan antarabangsa, sebulan selepas kumpulan lain ditolak kerana gagal melepasi proses saringan.

    Pemindahan tersebut adalah yang kedua sejak dua pusat pemprosesan migran mula beroperasi di Albania pada Oktober lalu.

    Sebelum ini, kapal yang sama turut membawa 16 migran dari Bangladesh dan Mesir ke Albania, di mana empat daripada mereka dihantar semula ke Itali pada hari yang sama kerana mereka adalah kanak-kanak atau menghadapi masalah kesihatan, manakala baki 12 orang lagi dibawa pulang ke Itali tiga hari kemudian selepas keputusan mahkamah di Rom menolak penahanan mereka, dengan alasan negara asal mereka Bangladesh dan Mesir dianggap tidak cukup selamat untuk penghantaran pulang.

    Menurut laporan media Itali, kapal Libra, yang mampu membawa 200 penumpang selain anak kapal, bertolak dari pulau Lampedusa pada Rabu bersama lapan lelaki dewasa di atas kapal. Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Itali, Francesco Kamel, mengesahkan bahawa kapal Libra sedang menuju ke Albania namun enggan mengulas lanjut sehingga operasi itu selesai, termasuk mengenai bila kapal itu akan tiba atau jumlah sebenar individu yang dibawa.

    Media Itali turut melaporkan daripada 1,200 migran yang tiba di Lampedusa dalam tempoh dua hari lalu, hanya lapan lelaki dewasa yang memenuhi kriteria saringan Albania, termasuk syarat datang dari negara yang dianggap ‘selamat’ untuk dihantar pulang.

    Jumlah migran yang tiba di Itali melalui laluan Mediterranean tengah kebanyakannya dari Bangladesh, Syria, Tunisia, dan Mesir telah menurun sebanyak 60 peratus pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Menurut Kementerian Dalam Negeri Itali, seramai 57,767 migran telah tiba melalui laut setakat 7 November tahun ini. – AP

    Kapal Libra tiba di Pelabuhan Shengjin, Albania, membawa kumpulan kedua migran yang ditahan di perairan antarabangsa. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda