Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Itali julang Piala Davis selepas 47 tahun

    MALAGA, 28 NOV – Itali memenangi Piala Davis buat kali pertama sejak 1976 apabila Jannik Sinner menumpaskan Alex de Minaur 6-3, 6-0 untuk mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Australia di Malaga baru-baru ini.

    Pemain nombor empat dunia itu memperoleh kemenangan dalam acara perseorangan kedua selepas Matteo Arnaldi menewaskan Alexei Popyrin 7-5, 2-6, 6-4 dalam pertembungan pembukaan.

    Sinner, yang menewaskan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dua kali dalam satu hari pada Sabtu lalu ketika Itali menyingkirkan Serbia, meraih gelaran kedua negaranya dengan bergaya menentang pemenang 28 kali, Lleyton Hewitt.

    “Saya berasa agak baik hari ini… ini adalah kemenangan yang sangat penting bagi saya, bersama seluruh pasukan dan Itali,” kata Sinner.

    “Ini adalah sesuatu yang berbeza, sangat istimewa, kerana awda tidak bermain untuk diri sendiri, awda bermain untuk seluruh pasukan,” tambahnya.

    Aksi Sinner semasa perlawanan akhir Piala Davis di Malaga, Sepanyol, baru-baru ini. – AP

    Sinner menghancurkan semangat De Minaur dengan persembahan tanpa belas kasihan, mengalahkannya dengan aksi yang hebat di hadapan majoriti penonton yang memenuhi gelanggang Martin Carpena.

    Sinner sudah memenangi setiap daripada lima pertemuan sebelumnya antara kedua-dua pemain, dan kali ini, pemain dunia ke-12 itu gagal bangkit, ditewaskan dalam masa 81 minit.

    Penantian Australia untuk trofi Piala Davis diteruskan, dengan kali terakhir dimenangi pada 2003, tetapi Itali, yang kali terakhir mara ke perlawanan akhir pada 1998, meraikan sambutan yang meriah apabila De Minaur melontar bola ke luar sekali gus menamatkan perlawanan.

    Sabtu lalu, Itali berada di ambang penyingkiran, tetapi Sinner menyelamatkan tiga mata perlawanan menentang Djokovic untuk memaksa pertembungan beregu penentu.

    “Semalam kami ketinggalan satu mata lagi dan kini kami boleh meraikan kemenangan, saya rasa kami semua boleh berasa sangat gembira,” kata Sinner, selepas menamatkan penantian Itali selama 47 tahun, jurang ketiga paling lama antara kejuaraan dalam sejarah Piala Davis. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...