ROM, 1 APRIL – Itali bertafakur selama seminit dan mengibarkan bendera separuh tiang bagi menghormati 12,428 orang yang telah terkorban akibat pandemik koronavirus.
Negara dengan 60 juta penduduk itu mencatatkan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia.
Tempoh ini juga menandakan Itali mencatatkan lebih banyak kematian daripada mana-mana bencana sejak Perang Dunia Kedua.
Virus berkenaan pertama kali dikesan di Milan pada penghujung Februari lalu sebelum ia merebak sehingga kini.
Setakat ini, seramai 4,000 penduduk menerima rawatan rapi untuk COVID-19 di negara berkenaan.
Datuk Bandar Rom, Virginia Raggi berkata, virus berkenaan disifatkan sebagai ‘kecederaan yang menyakitkan seluruh negara’.
“Kita akan menghadapi situasi ini bersama-sama,” katanya selepas satu acara bacaan doa oleh paderi bagi memperingati mangsa yang terkorban.
Vatican City juga mengibarkan bendera kuning dan putihnya separuh tiang sebagai solidariti terhadap mangsa korban COVID-19.
Semalam, Itali mencatatkan 812 kematian manakala, Jumaat lalu angka yang dicatatkan disifatkan terlalu menyedihkan dengan 969 mangsa maut dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi dicatatkan sejak virus ini tersebar akhir tahun lalu. – AFP