Monday, April 28, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Hidupan Liar Sabah lancar pameran beruang matahari

    KOTA KINABALU, 27 APRIL – Jabatan Hidupan Liar Sabah hari ini melancarkan Ruang Pameran Beruang Matahari secara rasmi di Taman Hidupan Liar Lok Kawi (LKWP) di sini.

    Menurut kenyataan jabatan itu hari ini, pameran yang ditambah baik itu, direka untuk menempatkan lebih banyak beruang matahari di kawasan lebih luas untuk tontonan umum, bertujuan memperkukuh usaha pemuliharaan, mendidik orang awam dan meningkatkan kesedaran tentang ancaman dihadapi spesies terancam ini, terutamanya berkaitan jenayah hidupan liar.

    Pelancaran itu juga bertepatan dengan persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 – beruang matahari dipilih sebagai maskot rasmi – dan ia dijangka dapat merangsang pelancongan tempatan serta antarabangsa.

    Jabatan itu memaklumkan pelancaran itu juga merupakan usaha utama dalam mempromosikan pemuliharaan serta meningkatkan kesejahteraan haiwan, hasil kerjasama erat antara Jabatan Hidupan Liar Sabah, Wild Welfare dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo.

    “Pameran ini menampilkan struktur dan kelengkapan baharu yang direka untuk merangsang tingkah laku semula jadi haiwan ini, mewujudkan persekitaran yang lebih dinamik dan berfokuskan kesejahteraan haiwan untuk beruang yang dipelihara di LKWP,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    GAMBAR JABATAN HIDUPAN LIAR SABAH
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda