Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Jabatan Kajicuaca di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi muncul sebagai pemenang bagi Pertandingan Energy Managers’ Cup anjuran Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Bangunan JPM, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah Energy Managers’ Cup serta sijil Building Energy Label bagi program pengauditan tenaga bangunan-bangunan kerajaan di Daerah Tutong ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Dayang Noor Dina Zharina binti Haji Yahya, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anwar bin Pengiran Haji Ahmad, ketua-ketua jabatan dan bahagian serta pengurus tenaga daripada kementerian-kementerian.
Pertandingan Energy Managers’ Cup merupakan pertandingan pengurusan tenaga antara kementerian-kementerian yang diadakan dari Mac 2023 hingga Februari 2024 dengan tujuan meningkatkan kecekapan tenaga dan langkah-langkah penjimatan tenaga dalam bangunan kerajaan serta meningkatkan kesedaran dalam kepentingan penjimatan tenaga dalam kalangan penjawat awam.
Sebanyak sembilan kementerian telah menyertai pertandingan berkenaan dengan Jabatan Kajicuaca di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dipilih sebagai pemenang. Jabatan Kajicuaca berjaya mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 21 peratus dengan mengungkayahkan inisiatif-inisiatif tanpa kos. Pada majlis berkenaan, Hajah Farida juga menyempurnakan penyampaian sijil Building Energy Label kepada beberapa buah bangunan kerajaan yang telah diaudit di bawah Program Pengauditan Tenaga dan mencapai Indeks Kecekapan Tenaga Minimum. Program Pengauditan Tenaga di Daerah Tutong bermula pada Oktober 2023 dan berakhir pada Ogos 2024.
Pengauditan berkenaan bertujuan mengenalpasti ketidakcekapan penggunaan tenaga dan peluang untuk penambahbaikan bagi pengurangan penggunaan tenaga elektrik serta mengira Indeks Kecekapan Tenaga yang akan digunakan sebagai data asas untuk mengukur prestasi kecekapan tenaga bangunan-bangunan berkenaan.
Sijil yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga kepada setiap bangunan adalah berdasarkan sistem penarafan bintang di mana lima bintang menunjukkan bangunan yang sangat cekap tenaga, manakala satu bintang menunjukkan prestasi kecekapan tenaga yang rendah.
Pertandingan Energy Manager’s Cup kali pertama diadakan pada 2023 sebagai sebahagian daripada inisiatif Jabatan Tenaga di JPM untuk memupuk budaya kecekapan tenaga dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan dan dirancang diadakan dua tahun sekali.