Friday, October 11, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Perkhidmatan Pos sambut ulang tahun penubuhan ke-118

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Jabatan Perkhidmatan Pos menyambut ulang tahun penubuhannya yang Ke-118 tahun sejak penubuhannya pada 11 Oktober 1906.

    Bersempena dengan ulang tahun tersebut, Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi mengadakan Majlis Membaca Surah Yaasin, Tahlil, dan Doa Kesyukuran diselajurkan dengan Sambutan Hari Pos Sedunia Tahun 2024 (World Post Day 2024), diikuti dengan menunaikan sembahyang Fardhu Asar berjemaah di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas.

    Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir ialah pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, timbalan setiausaha tetap (Pengangkutan), pengarah-pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua eksekutif, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran khusus untuk pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Pos dan warganya yang telah kembali ke rahmatullah dan diikuti dengan solat Fardhu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau Lapangan Antarabangsa Berakas, Haji Mohamad Aduka bin Haji Abdul.

    Menurut kenyataan, Hari Pos Sedunia (World Post Day) diraikan setiap 9 Oktober oleh para penyedia perkhidmatan pos dari negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia atau Universal Postal Union (UPU) di seluruh dunia bagi memperingati kepentingan perkhidmatan-perkhidmatan pos.

    Tahun ini merupakan ulang tahun penubuhan kesatuan berkenaan yang ke-150 dengan tema sambutan, 150 tahun membolehkan komunikasi dan memperkasakan masyarakat di seluruh negara yang mengiktiraf peranan penting kesatuan sejak penubuhannya pada tahun 1874 dalam menghubungkan masyarakat di seluruh dunia.

    Sejak Januari 1985, Negara Brunei Darussalam adalah ahli kepada Kesatuan Pos Sedunia. Jabatan Perkhidmatan Pos di negara ini telah menjalani transformasi yang ketara, seiring dengan perubahan zaman dan keperluan masyarakat.

    Selaras dengan Postal Vision 2030 yang telah digariskan oleh Kesatuan Pos Sedunia untuk membentuk sektor pos yang berdaya tahan, inklusif, dan dinamik, Jabatan Perkhidmatan Pos juga terus berkembang dalam era digital apabila ramai pengguna beralih kepada pembelian secara atas talian.

    Justeru, keperluan untuk penghantaran fizikal seperti bungkusan dan paket kecil kekal relevan dan masih mencerminkan permintaan yang berterusan, selari dengan perkembangan sektor e-dagang.

    Sejak 5 tahun kebelakangan, jumlah surat yang dihantar di negara ini telah menurun sebanyak 65 peratus dari 4.3 juta pada tahun 2019 kepada 1.5 juta pada tahun 2023. Penurunan berkenaan diimbang dengan peningkatan penghantaran bungkusan dan yang mendapat sambutan dan permintaan orang ramai secara konsisten.

    Peluang terus diraih dengan penghantaran domestik bagi penghantaran ubat-ubatan dan dokumen seperti Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan yang mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

    Jabatan Perkhidmatan Pos buat tahun keduanya secara berturut-turut telah menerima Anugerah bagi kualiti perkhidmatan pelanggan Express Mail Services (EMS) membuktikan komitmen jabatan yang cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan.

    Bersempena dengan Memperingati Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pos yang Ke-118 tahun dan Sambutan Hari Pos Sedunia ini, Jabatan Perkhidmatan Pos bertekad untuk terus meningkatkan perkhidmatan pos, demi manfaat dan kesejahteraan rakyat serta negara.

    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PEJABAT POS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda